Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan umat Islam
supaya mengetepikan sebarang perbalahan dan permusuhan bersempena bulan
Ramadan yang mulia ini.
Perdana Menteri, dalam catatan terbaru di blog beliau
www.najibrazak.com. hari ini berkata, sebarang perbalahan yang berlaku
itu tidak mendatangkan keuntungan bahkan merugikan masa dan tenaga.
“Pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, marilah kita
mengambil peluang keemasan untuk memperbaiki dan meningkatkan prestasi
diri kita dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT,” kata Najib.
Beliau berkata puasa adalah pendidik untuk umat Islam menjadi lebih
tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan
sepanjang Ramadan berlangsung.
“Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, di bulan Ramadan, semua
amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa
dengannya hingga tujuh ratus kali ganda dan Allah SWT berfirman:
“Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”.
“Semoga ibadat dan amalan kita diterima Allah SWT,” kata Najib. – BERNAMA