Sabariah menunjukkan beg tangannya yang ditoreh dalam cubaan mencuri di Pekan Ahad. |
Sabariah Ismail, 27, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila dia dan kakaknya pergi ke pekan Ahad, Padang Serai selepas pulang dari tempat kerja.
“Ketika itu waktu kemuncak memang orang ramai dan terpaksa bersesak. Jadi jika ada berlanggar antara satu sama lain, itu perkara biasa.
“Namun semasa saya dan kakak berada di gerai buah dan sedang memilih ada dua orang suspek datang bergesel dengan kami.
“Ketika itu saya dan kakak berdiri di depan gerai buah secara bergandingan dan kedudukan kami memang rapat, namun ada seorang wanita sengaja meraba-raba di bahagian beg tangan dan menghulurkan tangan di tengah-tengah antara kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Sabariah berkata, dia tidak mengesyaki wanita tersebut cuba untuk mencuri barangan yang disimpan dalam beg dengan menoreh.
“Memang saya pelik juga apabila wanita tersebut berebut-rebut untuk memilih buah di tempat kami berdiri sedangkan masih banyak ruang kosong lain. Saya juga perasan wanita itu seperti menarik-menarik beg saya,” katanya.
Tambahnya, nasib menyebelahinya apabila secara kebetulan ketika itu seorang lagi kakaknya yang berada di parkir kereta menelefon.
“Telefon bimbit saya letakkan dalam beg, jadi saya menarik beg saya ke depan untuk mengambil telefon bimbit yang sedang berbunyi, saya percaya usaha wanita itu untuk mencuri gagal apabila saya menarik beg saya ke depan,” katanya.
Sabariah juga berkata, bagaimanapun kejadian itu hanya disedarinya ketika berada di rumah apabila mendapati sisi beg tangannya telah pun rabak di toreh.
“Saya balik rumah baru perasaan beg saya telah ditoreh sehingga tembus ke dalam. Kalau tidak gaji saya yang baru ambil akan lesap begitu sahaja bersama telefon bimbit,” katanya.
Sumber: Sinar Harian