Beg Tangan Ini Termahal Di Dunia, RM824,083 Dari Hermes Birkin

ALOR SETAR - Sebuah beg tangan berjenama mewah, Hermes Birkin, berwarna merah jambu memecah rekod sebagai "beg tangan termahal" yang pernah terjual dalam lelongan pada harga $222,912 atau RM824,083.

Beg tangan tersebut yang diperbuat daripada kulit buaya itu dijual dalam lelongan Christie’s di Hong Kong, baru-baru ini.

Rekod beg termahal pernah dijual sebelum ini dipegang oleh sebuah lagi beg tangan juga jenama Hermes Birkin berharga $203,000 atau RM750,470 yang pernah dijual di Dallas, Texas pada sekitar tahun 2011.

Menurut Christie’s, beg kilat berwarna merah jambu itu dibeli seorang pembida menerusi panggilan telefon dari Asia.

“Bertatahkan berlian dan emas putih 18K, Hermès Shiny Fuchsia Porosus Crocodile Diamond Birkin 35 paling menonjol dan mencecah rekod jualan HK$1.72 juta,” kata kenyataan tersebut.

Beg termahal itu difahamkan turut dilengkapi satu mangga dan mempunyai ketinggian 25 sentimeter dengan lebar 35 sentimeter.

Selain itu, harga lelongan beg berkenaan dikatakan 15 peratus lebih tinggi daripada jangkaan Christie’s.

Di dalam majlis sama, kira-kira 300 beg tangan berjenama pereka terkenal telah berjaya dilelong.

Jualan kutipan keseluruhan hasil lelongan beg tangan dan aksesori Christie’s kali ini dikatakan mencecah $5.99 juta. -Kedahnews.com