BERA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini, memberi
jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk
sambutan Aidilfitri.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah
mengarahkan pengimport dan pemborong untuk menyediakan bekalan yang
secukupnya, dan jumlah simpanan itu juga sentiasa bertambah dari semasa
ke semasa.
“Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan
barang keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa
dibuat oleh agensi di bawah kementerian.
“Ini termasuk tindakan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) yang menambah import sejuta biji kelapa daripada
kebiasaan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Tadarus al-Quran
peringkat negeri Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata 500 pasar tani FAMA seluruh negara akan menjual barang
keperluan seperti daging, ayam dan sayuran segar pada harga berpatutan
bagi memudahkan orang ramai membuat persediaan, seminggu sebelum hari
raya.
Ismail Sabri juga menjelaskan kementeriannya hanya membekal barangan
keperluan, manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Tambah beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan lain-lain
kementerian dan agensi penguat kuasa bukan sahaja bagi memastikan
bekalan mencukupi, malah harga yang dijual berpatutan. – BERNAMA