Bayangkan hati ibu bapa mana yang tidak terusik geram dan marah apabila melihat anak
kecil yang baru berusia 2 tahun menderita kesakitan hingga enggan disentuh akibat didera pengasuh.
Demikianlah perasaan seorang bapa, Noor Asrolizham Zakaria, 35 yang
bertindak membuat laporan polis selepas terkejut melihat kesan lebam dan
juga bekas telapak tangan di belakang badan anak perempuannya yang
berusia 2 tahun yang dipercayai didera pengasuh di sebuah pusat asuhan
di Jelutong, Georgetown, kelmarin.
Menurut Asrolizham, kejadian itu hanya disedari pada 6.30 petang selepas dia mengambil anaknya pulang dari rumah pengasuh.
“Ketika itu saya mahu memandikan anak dan terkejut apabila melihat belakang badannya disapu bedak.
“Ketika mahu memeriksa badannya, anak saya menangis dan enggan disentuh,” katanya.
Tambahnya, selepas membersihkan kesan bedak di belakang badan anaknya
dia terkejut apabila melihat kesan berbirat dan lebam teruk itu.
Difahamkan bahawa anak kecil malang itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner
Ibrahim Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kes penderaan
tersebut.
Menurutnya, pihak polis telah pun mengambil keterangan lima daripada 10
pekerja di pusat asuhan terbabit dan pihak berkuasa itu sedang menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.