ALOR SETAR - Bekas tunang penyanyi Adira Suhaimi, Shahrul Nasrun Kamarudin menafikan
kenyataan Elizabeth Tan yang mendakwa dia cuba mengorat penyanyi yang
terkenal dengan lagu Knock-Knock itu ketika dia masih lagi bergelar tunangan Adira.
Sebaliknya menurut Shahrul yang merupakan Pengerusi Gerakan Belia
Gagasan 1 Malaysia, tiada sebarang perkara peribadi melibatkan dirinya
dan penyanyi berketurunan Cina itu sebaliknya dia hanya berhubung dengan
Elizabeth atas urusan kerja dan tidak lebih daripada itu.
“Tidak ada hal personal mahupun ajak keluar atau sebagainya. Kalau nak dikatakan flirt (mengorat) tak mungkin. Sebab ramai lagi kaum wanita lain yang bekerjasama dalam apa saja program atau kempen saya,” katanya.
Walaupun Elizabeth mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyalahkannya,
namun Shahrul tidak sesekali menyalahkan penyanyi berusia 22 tahun itu
kerana memahami situasi dan menyifatkan mungkin Elizabeth panik dan
tidak mahu ada kaitan.
“Sesiapa saja kalau dikaitkan dengan hubungan lain, akan cuba protect diri
mereka. Saya tak salahkan dia. Mungkin ada salah faham. Saya mesra
dengan semua orang tak kira lelaki atau perempuan bila soal kerja.
“Setakat ambil berat tanya makan dah atau sebagainya dalam perbualan
kerja, saya rasa tak salah. Bahkan dengan staf saya yang lain saya layan
mereka sama saja,” ulasnya memetik laporan portal Rotikaya.
Shahrul turut memohon izin agar dirinya dan Adira mencari kebahagiaan
masing-masing berikutan ikatan pertunangan yang terjalin sudah pun
terputus sejak bulan lalu.
Dalam pada itu, Shahrul enggan memberikan sebarang komen lanjut ketika dihubungi kerana dia telah dinasihatkan agar tidak lagi memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media berhubung isu ini.
Adira dan Shahrul bertunang pada 22 Disember tahun lalu di kediaman
penyanyi cantik itu di Kundasang, Sabah dan mengikut perancangan mereka
sepatutnya disatukan September ini. -Kedahnews.com