Berani Azmin Ali Bantah DAP Selepas Ini?

TENTU ramai masih ingat bagaimana Pakatan Rakyat (PR) apabila menguasai Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 bertelagah teruk mengenai soal siapakah bakal Menteri Besar (MB) baharu di negeri itu.

Penulis masih ingat, sejurus awal pagi 9 Mac 2008, ramai ahli panel yang membincangkan analisis pasca-PRU 12 sama ada di stesen televisyen, radio malah akhbar arus perdana menyatakan wakil DAP bakal MB baharu Perak.

Pada mulanya memang nampak logik kerana DAP-lah yang paling banyak menang sekali gus menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan 18 kerusi berbanding sekutunya Pas (6 kerusi) dan PKR (7 kerusi).

Ketika itu Barisan Nasional (BN) Perak langsung ‘mengalah’ walaupun mereka ada 28 kerusi dan semua orang di seluruh Malaysia menganggap negeri tersebut jatuh ke tangan pembangkang iaitu PR buat julung kalinya.

Begitulah kehebatan jentera perang saraf pembangkang khasnya menerusi laman sosial berjaya membina persepsi songsang kononnya mereka menawan Perak, bukan BN; hanya kerana PR ada 31 kerusi dalam DUN waktu itu.

Gambar hiasan
Padahal PR itu bukan organisasi sah, langsung tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau dalam cakap mudah sebetulnya PR itu pertubuhan haram dan tidak wujud di Malaysia, ini fakta sebenarnya.

Justeru dari segi undang-undang tubuh negeri Perak, BN-lah pemenang sepatutnya, ironi media massa pro-PR cuba memperbodohkan rakyat kononnya PR adalah pemenang; walaupun PR itu adalah organisasi ‘hantu’.

Bayangkanlah betapa baiknya BN tidak membawa keputusan itu kepada mahkamah bagi mencabar kesahihan PR sebaliknya menganggap rakyat ‘menolak’ BN secara demokratik dengan mengundi calon pembangkang.

Allah SWT Maha Kaya, DAP walau bagaimanapun masih gagal lagi ‘mendakap’ jawatan MB kerana halangan undang-undang tubuh kerajaan negeri itu mensyaratkan bakal calon mestilah Melayu dan beragama Islam.

Maka pilihan kedua secara teknikal sama ada seorang ADUN DAP dengan sukarela kena ‘wajib’ mengucap dua kalimah syahadah sebagai simbolik sudah memeluk agama Islam, tetapi ini amatlah mustahil tidak masuk akal.

Gambar hiasan
Beralih pula pilihan ketiga mencari ADUN PKR kerana ia memiliki kerusi kedua terbanyak, malangnya tiada seorang pun calonnya disepakati semua pihak yang berpegang kepada konsep ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ itu.

Akhirnya pilihan keempat ialah mencari ‘bidan terjun’ daripada kalangan wakil Pas dan ketika itu beberapa calon disenarai panjang sebelum dipendekkan sehingga akhirnya baharulah mereka memilih Ir. Nizar Jamaluddin.

Sesuatu yang cuba dirahsiakan jentera perang saraf PR, nama Nizar itu hakikatnya tiada dalam senarai tetapi muncul setelah beberapa kali nama calon pilihan ditolak termasuk Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang.

Ketika itu bibit-bibit perpecahan dalam PR mula timbul apabila beberapa wakil PKR tidak berpuas hati dengan pemilihan Nizar, yang bukan sahaja dilihat tidak layak berbanding calon PKR, bahkan tiada personaliti MB.

Hal ini pun cuba disorokkan jentera propaganda PR manakala di Perak, masyarakat Melayu sudah dapat melihat wajah sebenar MB mereka itu yang jelas terang-terang alat boneka DAP meskipun berlatar belakang imej Pas.

Gambar hiasan
DAP yang kempunan menduduki kerusi ketua eksekutif kerajaan negeri itu khabarnya sanggup menerima Nizar dengan syarat jadi ‘Pak Sanggup’ memenuhi segala agenda DAP di Perak. Entah betul entah tidak wallahu’alam.

Hakikatnya rakyat Perak menyaksikan sendiri bagaimana ‘ketokohan’ Nizar dieksploitasi DAP sehinggakan topik perbualan panas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2008 di negeri itu ialah mereka menyesal memilih PR.

Gelombang kemarahan masyarakat Melayu tidak dapat dibendung apabila Nizar jelas nampak sangat menyebelahi segala permintaan DAP termasuk lesen pendudukan sementara tanah 999 tahun kepada masyarakat Cina anti-BN.

Mujur perkara tersebut tidak dilaksanakan kerana bercanggah dengan Kanun Tanah Negara, tetapi jika isu-isu melibatkan kepentingan Melayu, MB itu amat susah-payah bantu dan mesti dapat ‘restu’ DAP terlebih dahulu.

Itu cerita lama sudah menjadi sejarah dan BN Perak berjaya merampas kembali negeri tersebut selepas 11 bulan dikuasai pakatan ‘haram’, malah kemudian menang majoriti mudah dalam saingan PRU-13 pada 2013 lalu.


Kali ini skrip yang sama menimpa Selangor cuma MBnya ialah wakil PKR. Senarionya PR sudah dibubarkan secara sebelah pihak oleh DAP sekali gus salah seorang ADUN parti itulah sepatutnya menjadi MB kerana ada 15 kerusi.

PKR pula melukut di tepi gantang dengan 13 kerusi selepas memecat MB paling cemerlang dan terbaik dalam sejarah, Tan Sri Khalid Ibrahim hanya kerana enggan menerima Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB baharu.

Sekali lagi mujur undang-undang tubuh kerajaan Selangor macam Perak, bakal MB mestilah beragama Islam dan bangsa Melayu. Kempunan akhirnya DAP kerana mereka langsung tiada seorang pun ada dua syarat asas tersebut.

Wakil Pas sebenarnya ada peluang menjadi MB baharu kerana mereka memiliki 15 kerusi dan jika bersatu dengan 12 ADUN BN campur 1 lagi kerusi Bebas iaitu Khalid, gabungan ini sudah cukup ada majoriti mudah 28 kerusi.

Ini kerana PKR dan DAP walaupun ada 28 kerusi, tetapi seorang wakil mereka kebetulan menjadi Speaker; walhal menurut undang-undang tubuh negeri, penyandang jawatan itu tidak boleh mengundi sebarang usul dalam DUN.

Gambar hiasan
Ironi gabungan Pas+BN+Bebas ini masih lagi mustahil merampas kerajaan Selangor kerana kebetulan ada dua ADUN Pas yang diketahui pro-PR, maka terselamatlah MB sekarang, Azmin Ali buat sementara sehingga PRU-14.

Malangnya dengan jumlah wakil PKR sedikit berbanding DAP, Azmin secara tidak langsung sama ada suka atau tidak akan menjadi seperti Nizar; MB boneka yang tiada kuasa tetapi kena dapat ‘restu’ DAP jika mahu berkuasa!

Inilah realiti yang tidak diketahui rakyat Selangor khasnya masyarakat Melayu bahawa MB mereka nama sahaja Melayu dan fizikal Melayu, namun realitinya terpaksa ‘menumpang’ ihsan parti cauvinis Cina sebagai boneka.

Apalah sangat yang boleh diharapkan daripada DAP untuk melindungi kepentingan Melayu kerana memang jelas perlembagaan DAP tertera mencatatkan akan menghapuskan segala hak keistimewaan Bumiputera jika berkuasa.

Lihat sahajalah isu perumahan mewah Datum Jelatek, penutupan asrama Yayasan Selangor, elaun guru KAFA dan banyak lagi; apa saja berbaur Melayu cuba dihapuskan sedikit demi sedikit tanpa publisiti jentera propaganda PR.

Gambar hiasan
Kecualilah umat Islam di Selangor sanggup menjadi senasib macam mana masyarakat Melayu Singapura, Azmin akan kekal selesa dan tidak perlu risau sangat memikirkan kedudukannya tergugat selepas pasca PRU-14 kelak.

Pun begitu, Azmin jangan pula berasa terlalu selesa kerana DAP juga sedang giat melatih ramai anak muda Melayu yang liberal dan pluralisme sebagai calon boneka mereka untuk ‘merampas’ kerusi MB daripada tangan PKR.

Nama PR itupun organisasi tidak berdaftar dengan ROS, jadi bukanlah satu kesalahan besar DAP bersetuju untuk tidak bersetuju dengan PKR kerana matlamat akhirnya nanti ‘menawan’ Malaysia daripada pemerintahan Islam.

Berbeza Pas yang cukup mudah buat ‘U-turn’ apabila kepentingan terjejas, DAP tetap istiqamah dalam perjuangan mereka walaupun sekadar di belakang tabir Azmin; yang kebetulan ada pula hubungan sejarah dengan Singapura.

Setakat ini di atas kertas DUN Selangor, PKR tersepit teruk di tengah antara ‘perang’ Pas dan DAP, pilihan Azmin untuk kekal selamat: jadilah boneka dengan sebaik-baiknya sementara masih ada lagi kuasa! – Mynewshub