Wakil MRA Kedah melakukan pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga Rohingya. |
SUNGAI PETANI - Sebahagian besar pelarian Rohingya hanya mampu berbuka
puasa dengan linangan air mata berikutan kesempitan hidup sehingga tidak
mampu membeli makanan.
Ketika ditanya petugas Persatuan Persaudaraan Muslimah (Salimah) Kedah,
apakah juadah yang disediakan untuk berbuka, mereka hanya mampu
mengalirkan air mata tanpa berbicara.
Timbalan Pengerusi Salimah Kedah, Masadah Sajadi berkata, peristiwa
yang berlaku tahun lalu itu antara secebis kisah masyarakat Rohingya
yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Setiap tahun kami akan cuba dapatkan penaja untuk anjur majlis berbuka
puasa kepada mereka, sekurang-kurangnya tiga kali atau sumbangan wang
bagi membeli keperluan memasak dan seharian untuk diagihkan,” katanya.
Menurutnya, sebuah NGO kesihatan, Malaysian Relief Agency (MRA) Kedah
turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas memasak sempena
Ramadan.
“Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak korporat
dialu-alukan menghulur sumbangan kepada pelarian Rohingya sepanjang
Ramadan supaya masyarakat itu dapat merasai kenikmatan ibadah puasa,”
katanya.
Masadah yang juga Pengarah Program Pemeriksaan Kesihatan Untuk Warga
Rohingya yang diadakan di Baitul Rahmah, Rohingya Learning Centre,
Sungai Petani, berkata, prihatin dengan nasib golongan itu, pihaknya
dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
dan MRA melakukan kerja amal itu secara percuma.
“MRA Kedah sediakan pasukan perubatan seramai 15 petugas terdiri dari
jururawat dan doktor bersara untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan
kesihatan percuma, di mana 50 keluarga Rohingya hadir untuk program amal
itu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menawarkan perkhidmatan itu kerana mereka tidak
mampu untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana kosnya mahal.
“Sebelum ini kami turut menyertai pasukan perubatan memberi rawatan kepada pelarian Rohingya di Langkawi,” katanya.
Masadah yang juga Penyelaras Hal Ehwal Murid di Baitul Rahmah berkata,
anak-anak masyarakat Rohingya dihantar belajar pendidikan asas agama
Islam dan kemahiran, di mana Salimah turut membekalkan aktivis sebagai
guru di pusat terbabit.
“Kami turut mengambil seorang wanita Rohingya bekerja sebagai pembantu
di pusat itu kerana kasihan dengan nasib wanita Rohingya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian