Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim |
Di mana-mana negara sekali pun, modal insan merupakan aset paling
berharga bagi menjana dan menggerakkan sumber-sumber fizikal termasuk
mesin dan bahan mentah.
Walau bagaimanapun Malaysia yang diunjur bakal menjadi negara warga
emas (menua) pada 2035 apabila 15 peratus daripada populasi penduduknya
berumur 60 tahun ke atas, perlu bersedia menghadapi kemungkinan berlaku
kemerosotan ekonomi akibat penurunan kadar tenaga kerja dewasa yang
aktif.
Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya prihatin terhadap pembangunan
negara dan kesejahteraan generasi akan datang dengan memainkan peranan
masing-masing dari sekarang.
Pengorbanan
Seorang bapa yang telah bekerja keras namun memilih untuk membeli
kenderaan jenama Honda berbanding Mercedes bagi membolehkan
anak-anak melanjutkan pengajian di luar negara, cuma salah satu contoh
pengorbanan dilakukan ibu bapa demi masa depan anak mereka.
Malah biasa didengar, ibu bapa mampu membesarkan sepuluh anak sehingga kesemua mereka menjadi insan yang berjaya.
Jika ada yang berasakan contoh-contoh di atas adalah sesuatu yang
‘asing’ hanya kerana mereka tidak mempunyai kereta Honda atau Mercedes,
mahupun sepuluh orang anak; maka golongan ini lupa terhadap
tanggungjawab asas seorang dewasa.
Semua manusia dalam semua tahap kehidupan; akan melakukan suatu
bentuk pengorbanan untuk meneruskan kehidupan. Contohnya, seorang bujang
yang berkeinginan untuk mendirikan rumahtangga terpaksa berkorban dari
sudut kewangan, fizikal, mental dan sebagainya bagi mencapai hasrat itu.
Justeru, tak peliklah apabila golongan ibu bapa juga terpaksa
berkorban demi memastikan anak-anak mereka berjaya satu masa nanti.
Jadi bagaimana pula kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat bercanggah dengan apa yang sememangnya dilakukan bukan
sahaja oleh rakyat Malaysia, bahkan rata-rata penduduk di seluruh dunia?
Sememangnya ibu bapa perlu sedia untuk berkorban demi keluarga dan tidak terlalu fokus terhadap kekayaan material semata!
“Oleh kerana itulah kementerian menggalakkan pasangan suami isteri
tidak terlalu taksub terhadap kualiti kehidupan, tetapi mengalih fokus
mereka kepada menambah bilangan ahli keluarga.”
Apa yang dimaksudkan Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam kenyataannya
adalah berdasarkan statistik, Malaysia akan menjadi negara menua pada
2035, maka salah satu cara bagi mengurangkan impak fenomena global ini
adalah menggalakkan keluarga menambah bilangan anak.
Tiga atau empat orang merupakan jumlah anak yang ideal bagi
mewujudkan keseimbangan dalam kadar kelahiran negara yang kian merosot.
“Bagaimanapun, ini bukan sesuatu yang boleh dipaksa.
“Tugas kami hanya untuk memberitahu dan menggalakkan namun ianya
terserah kepada pasangan untuk merancang bilangan ahli keluarga paling
ideal untuk mereka,” jelas Rohani.
Sejarah Membuktikan
“Trend terkini menunjukkan kebanyakan keluarga mempunyai dua anak
atau kurang. Bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk kita meletakkan
paksaan bagi pasangan suami isteri menambah jumlah anak kerana mereka
berhak membuat keputusan,” tambah Rohani kepada Dewan Rakyat pada 25 Mei
lalu.
Rohani berkata, pasangan biasanya merancang bilangan ahli keluarga berdasarkan kemampuan pendapatan mereka.
Walaupun terdapat suara-suara yang mempersoalkan kos sara hidup dan
situasi ekonomi pada hari ini menyukarkan sesebuah unit keluarga untuk
mempunyai lebih daripada seorang anak, namun sejarah membuktikan bahawa
rakyat Malaysia punyai daya tahan yang tinggi meskipun diuji dengan
keadaan ekonomi yang lemah pada tahun 40an,50an dan 60an.
Sumber: Mynewshub.cc