Gambar Hiasan |
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusof Ismail berkata,
kebanyakan perokok tegar sukar untuk menghilangkan tabiat merokok
selepas makan kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu sejak sekian
lama.
Menurutnya, walaupun ada dalam kalangan mereka menyimpan hasrat untuk
berhenti merokok namun, ia mengambil masa yang lama hingga kadang kala
terpaksa mencuba selama bertahun-tahun.
“Sekarang ini hanya ada beberapa kawasan seperti hotel atau kedai makan
berhawa dingin yang menyediakan bilik khas berasingan dan perlu
diperluaskan ke tempat terbuka,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika mengulas cadangan Kementerian Kesihatan
bagi mewartakan semua kedai serta tempat makan awam di negara ini
sebagai kawasan larangan merokok, walaupun ia merupakan premis terbuka
dan tidak berhawa dingin.
Menurut Kementerian Kesihatan, larangan itu sejajar dengan Malaysia
sebagai sebuah negara yang menandatangani perjanjian WHO Framework
Convention for Tobacco Control (FCTC) dan menjadi tanggungjawab semua
pihak memastikan implementasi terhadap Artikel 8 perjanjian ini iaitu
melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok dipatuhi.
Berdasarkan statistik kementerian itu sebelum ini, dianggarkan 100,000
rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit yang
berkaitan dengan merokok.
Sumber: Sinar Harian