PETALING JAYA – Pengusaha bas ekspres mungkin akan menghadapi masalah
kekurangan pemandu semasa cuti Hari Raya kerana mendakwa tidak
mempunyai wang bagi meyakinkan pemandu untuk berkerja.
Menuntut sekurang-kurangnya kenaikan tambang 10 peratus semasa musim
cuti pada pertengahan bulan Julai, mereka berkata jika permintaan ini
tidak menjadi kenyataan, mereka tidak boleh meyakinkan tenaga kerja yang
majoritinya bergama Islam untuk terus berkerja.
“Kira-kira 80 peratus daripada pemandu kami adalah Muslim. Mereka
bertanya mengapa mereka harus bekerja pada Hari Raya jika kami tidak
boleh menaikkan gaji mereka,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas
Johor G. Suchdev.
Beliau berkata majikan-majikan bas ekspres mahu menawarkan lebih
banyak bas di jalan raya, tetapi tidak dapat melakukannya kerana tidak
mampu membayar gaji pemandu tambahan semasa musim cuti.
Suchdev berkata dengan 20 peratus kenaikan tambang bas ekspres ia
akan membolehkan syarikat-syarikat bas ekspress melaksanakannya.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohd
Ashfar Ali berkata disebabkan keadaan yang tidak pasti ini, hanya
sedikit bas dapat beroperasi.
“Sebab itu kami meminta surcaj tambahan dikenakan. Pemandu perlu mengorbankan Hari Raya mereka untuk terus memastikan perkhidmatan beroperasi,” katanya.
Beliau juga berkata syarikat tidak lagi boleh menunggu kerajaan
menangguhkan kenaikan tambang, yang mahu dinaikkan dari 9.3sen kepada
11.4sen per km.
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan sementara semasa musim cuti
tidak mencukupi, dan sedikit demi sedikit industri akan kehilangan
pemandu.
Ketika Mohd Ashfar tidak mempunyai jumlah pemandu yang telah berhenti
di seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suchdev
berkata kira-kira 400 pemandu bas di Johor mungkin telah berhenti dalam
tempoh dua tahun lalu.
Katanya, ramai di antara mereka pergi ke Singapura.
Suchdev berkata dengan kerja lebih masa dan komisen, pemandu bas
ekspres di sini boleh mendapat kira-kira RM3,000. Gaji asas untuk
pemandu Malaysia yang ke Tambak Johor boleh mencecah S$1,400 (RM4,000).
Mohd Ashfar berkata jika kerajaan tidak boleh menaikkan tambang, ia perlu membatalkan kawal selia tambang bas ekspres.
Pembatalan tersebut bermakna pengendali mungkin menetapkan sendiri
tambang dan bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan penumpang.
Laporan baru-baru ini berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) telah memuktamadkan keputusannya berhubung surcaj tambang Raya.
SPAD juga sedang mengkaji penyahkawalseliaan tambang bas ekspres tetapi ini memerlukan kelulusan kerajaan terlebih dahulu. - mStar