Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. |
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan campur tangan dalam
krisis kepimpinan MIC yang kini kelihatan semakin meruncing, kata
setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata walaupun BN prihatin tentang perkembangan yang sedang
berlaku, beliau percaya MIC mampu menyelesaikan masalah mereka dengan
sendiri.
“Mereka rasa mereka dapat menyelesaikan masalah itu, jadi serahkan
sahaja kepada mereka (untuk menyelesaikan perkara dalaman parti itu).
“Bagaimanapun, sebagai setiausaha agung Barisan Nasional, saya
menasihati mereka supaya berfikirlah dengan rasional dan bersatulah
kerana masyarakat India memerlukan MIC untuk mencapai hasrat mereka,”
katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menggantung
keanggotaan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan 14 yang lain
selama setahun berkuat kuasa serta merta kerana mengingkari arahannya
supaya tidak mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)
Sementara parti itu.
Bagaimanapun, Dr Subramaniam menganggap penggantungan keanggotaan
beliau dan 14 yang lain daripada parti itu sebagai tidak sah dan
Palanivel kemudiannya menegaskan bahawa beliau masih presiden MIC serta
menyangkal dakwaan CWC parti itu.
Tengku Adnan berkata BN telah beberapa kali mengadakan perjumpaan
dengan MIC dan mengesyorkan beberapa penyelesaian, tetapi tidak
dipersetujui parti itu.
“Kami sudah banyak kali berbincang dengan mereka serta menawarkan
beberapa penyelesaian…tetapi mereka tidak menerimanya,” kata beliau.
Tengku Adnan bagaimanapun menolak dakwaan bahawa krisis yang melanda MIC akan menjejaskan prestasi BN.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri
berkata dalam menangani krisis MIC, keputusan mahkamah perlu dikaji
secara holistik dan penghakiman bertulis pula perlu dikaji secara
terperinci.
“Saya perlu dapatkan penghakiman bertulis mengenainya dahulu sebab
kumpulan dalam parti itu saling memecat satu sama lain dengan
menggunakan perlembagaan mereka. Memanglah mereka telah merujuk kepada
peguam masing-masing, tetapi keputusan mahkamah perlu dikaji dengan
teliti terlebih dahulu,” katanya. – BERNAMA