Bomba Nafi Keras Dakwaan Seret Mayat Pendaki Gunung Kinabalu @bombaJBPM


ALOR SETAR - Tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak di laman-laman sosial dan beberapa blogger yang memuat naik gambar palsu anggota penyelamat menyeret mayat di dalam operasi SAR telah mencemarkan imej Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Perkara tersebut dilihat sebagai sengaja untuk mengaibkan pasukan penyelamat dan pihak JBPM menafikan sekerasnya berkenaan gambar palsu tersebut.

JBPM menafikan perkara berkenaan melalui laman akaun Twitternya hari ini serta menegaskan ia tidak pernah berlaku seperti dalam gambar tersebut yang kini giat dikongsikan di laman sosial.

 “Kami pasukan penyelamat di Malaysia sedang bertungkus-lumus dan bertarung nyawa untuk menyelesaikan amanat yang digalas oleh pihak kami.

“Tidak berlaku apa yang digambarkan. Gambar berkenaan merujuk kepada seorang anggota penyelamat sedang ‘menyeret’ mangsa gempa bumi tidak berlaku.

“Sebaliknya anggota penyelamat sedang menunggu rakan penyelamat lain untuk mengangkat bersama,” kata agensi kerajaan itu dalam satu pautan gambar di Twitter.

Penyebar-penyebar maklumat palsu ini dilihat seolah-olah cuba ‘meraih’ publisiti sebagai menjadi orang pertama yang memuat naik fakta berkenaan kejadian gempa bumi di Sabah baru-baru ini.

Apapun saranan dari Kedahnews.com supaya kita semua tidak terlalu cepat percaya dengan fakta tidak telus yang tersebar di laman-laman sosial, sebaliknya memastikan maklumat yang diterima itu adalah dari sumber-sumber yang sahih dan boleh dipercayai. -Kedahnews.com