KUALA LUMPUR – Salah seorang saksi pasukan defendan menafikan
pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) menggunakan kekerasan atau
bertindak kasar ketika berada di premis Rosli Dahlan untuk menahan
beliau pada tahun 2007.
Sebaliknya saksi itu, Augustine S. Manson berkata, pihaknya terpaksa
mematuhi dan menggunakan SOP tindakan menahan apbila plaintif enggan
bekerjasama ketika hendak ditahan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga diberitahu bahawa Rosli, seorang
peguam, menggunakan kata-kata kesat ke atas pegawai-pegawai BPR, yang
kini dikenali sebagai SPRM, semasa berada di pejabatnya di Tingkat 17,
Menara Asia Life Assurance, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur susulan notis
penahanan dikeluarkan atas namanya.
Mahkamah Tinggi mendengar keterangan Augustine pada hari Rabu, 10 Jun 2015.
“Dia enggan beri kerjasama dan menggunakan kata-kata kesat ke arah
kami apabila kami memberitahu dia mengenai arahan untuk menahannya,”
katanya.
Kejadian itu berlaku pada 11 Oktober 2007.
Augustine berkata, apabila pegawai yang ditugaskan untuk menahannya,
M. Mohan menjelaskan tentang alasan arahan penahanan, Rosli kelihatan
agresif dan enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh mereka.
Rosli dikatakan cuba mengelak daripada digari oleh pegawai-pegawai
BPR meskipun dijelaskan tentang sebab dia ditahan di bawah Seksyen 32(2)
Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Augustine, pegawai yang membantu dalam urusan penahanan Rosli, memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yian.
Rosli memfailkan saman 17 defendan termasuk pegawai kanan SPRM dan
kerajaan berikutan penahanan dan pendakwaannya kerana gagal menyatakan
maklumat mengenai asetnya.
Perbicaraan disambung pada 11 Jun 2015.