Buffet Ramadhan: Hotel Disaran Promosi Makanan Tempatan - Siew Kiong

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong (empat,kiri) bersama Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak (dua,kiri) menunjukkan pelbagai jenis durian sebagai antara buah-buahan tempatan yang dihidangkan sempena promosi Citrarasa Kampung Kita 2015 Hotel Thistle pada majlis pelancaran promosi itu petang semalam. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU – Industri perhotelan di negeri ini disaran menggiatkan usaha mempromosi makanan dan kebudayaan tempatan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata ini kerana industri perhotelan merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan masakan, makanan dan budaya tempatan.

“Johor mempunyai pelbagai masakan, makanan dan budaya yang unik yang dapat menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kebanyakan pelancong yang pernah menikmati makanan tempatan pasti akan datang kembali untuk menikmati makanan itu sekali lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Citarasa Kampung Kita di sebuah hotel di sini.

Menurut Tee, jumlah kedatangan pelancong ke Johor tahun lepas melepasi sasaran iaitu sebanyak 6.42 juta orang berbanding 4.9 juta orang yang disasarkan.

Sehubungan itu, beliau yakin promosi giat oleh pengendali hotel di negeri ini dapat meningkatkan kedatangan pelancong terutamanya bersempena ‘Malaysia Year of Festivals’ (MyFest) 2015.

Mengenai Citarasa Kampung Kita, Tee berkata ia dapat membuka ruang kepada negeri ini mempamerkan kehebatan masakan dan makanan seperti ota-otak, mi bandung Muar, laksa Johor dan nasi beriani gam.

Katanya program itu juga dapat merealisasikan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta dalam memeriahkan dan merancakkan industri pelancongan negara. – BERNAMA