Butiran Halus Lutsinar Keluar Dari Tengkuk Kanak-Kanak Di Sg Petani

Nur Farah Farisya menunjukkan lokasi lengan kiri yang digaru sebelum keluarnya butiran halus lut sinar sejak kelmarin.
SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak 10 tahun mengejutkan kedua ibu bapanya apabila mengeluarkan butiran halus lut sinar dari anggota badan sejak petang kelmarin.
 
Nur Farah Farisya berkata, pada mulanya dia merasa gatal-gatal di bahagian tengkuk seperti digigit semut menyebabkan dia garu sebelum menyedari terdapat butiran halus lutsinar.
 
“Kejadian pertama berlaku di sekolah semalam (kelmarin) kira-kira jam 1 petang sebelum pulang ke sekolah. Kerana berasa pelik, saya terus buang bijian halus berkenaan,” katanya.
 
Menurutnya, kejadian sama terus berlaku di sekolah apabila matanya turut berasa gatal sebelum keluarnya bijian halus lut sinar sebesar biji gula selepas digaru.
 
Bagaimanapun katanya, gatal-gatal di badan terus berlarutan selepas pulang dari sekolah termasuk di kedua-dua belah mata dan lengan kiri apabila terus-terusan mengeluarkan benda lutsinar itu.
 
“Apabila saya garu, ia terus terbit dari celah-celah kulit, saya tidak tahu datangnya dari mana dan terus beritahu ibu,” katanya.
 
Ibunya, Zulila Mahmud, 40, berkata, selepas dimaklumkan anaknya, mereka mula mengira butiran berkenaan sehinggalah kini mempunyai lapan butiran halus sepanjang dua hari kejadian itu.
 
Zulila bagaimanapun bimbang dengan keadaan anak tunggal perempuan daripada lima beradik itu sekiranya terdapat kesan lain berhubung tahap kesihatannya.
 
“Selepas dia mengadu pening-pening, katanya dia mengalami kegatalan, akan tetapi keluar pula benda yang membimbangkan kami,” katanya yang telah membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
 
Menurutnya, doktor tidak dapat mengesahkan punca butiran halus berkenaan namun menasihati agar Farah memakai cermin mata untuk tujuan kesihatan berikutan sering pening dan kabur pandangan.
 
“Saya bimbang dengan apa yang berlaku dan berharap ia tiada kaitan dengan tahap kesihatan anak saya,” katanya.
 
Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd Fauzi Osman, 42, berkata, dia menafikan wujudnya unsur mistik apatah lagi anaknya langsung tidak mengalami sebarang kejadian aneh sehingga boleh mengaitkannya dengan unsur terbabit.
 
“Dia hanya mengalami pening-pening sebelum kejadian namun saya berharap ia tiada kesan sampingan.
 
“Saya akan bawa anak ke hospital untuk menjalankan rawatan seterusnya bagi memastikan perkara itu,” katanya.
 
Buat masa ini katanya, butiran halus itu akan disimpan untuk rujukan mahupun dirujuk kepada yang pakar bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.