Celupar Di Facebook, Lelaki Ditahan Hina Insiden Gempa Di Sabah


Gara-gara menulis status sesuka hati dan dianggap menghina di laman sosial Facebooknya, seorang lelaki berusia 22 tahun dilapor telah ditahan pihak polis.

Lelaki yang dipercayai merupakan seorang penjawat awam itu dilaporkan telah memuatnaik status seolah mengejek tanpa mengambil kira sensitiviti mengenai kejadian gempa bumi yang melanda Sabah pada awal pagi Jumaat lalu.

“Kena gempa bumi baru nak kecoh..Standard la negeri penuh sociality..pub..night club terbanyak di Malaysia..Nak goyang sangat kan. Tuhan dah bagi goyang tu, kenapa takut pula??” tulis lelaki berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Assisten Komisioner, M. Chandra, lelaki tersebut ditahan pada jam 9 malam semalam selepas satu laporan polis dibuat mengenai status yang dikeluarkan oleh lelaki itu.

“Kami merampas sebuah telefon bimbit dan dua sim kad daripada suspek dan telah merekod kenyataan daripadanya,” katanya.

Selain itu, Chandra turut menjelaskan bahawa pihaknya akan membawa kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat untuk tindakan susulan. - Kedahnews.com