ISLAMABAD – Angka korban akibat
gelombang panas ekstrim di seluruh Pakistan kini melepasi 1,000 orang,
jumlah terburuk dalam sejarah, selepas cuaca panas paling dahsyat
meragut lebih 1,500 nyawa di India bulan lalu.
Akhbar tempatan pada Jumaat melaporkan,
lebih banyak kematian dijangka dicatatkan di bandar raya terbesar di
Pakistan dan yang paling teruk terjejas, Karachi, apabila lebih 650
orang maut dalam masa hanya empat hari.
Gelombang suhu panas kali ini adalah yang paling
teruk melanda Karachi dalam masa hampir 35 tahun, menurut pegawai
jabatan perkhidmatan meteorologi Pakistan sebagai mengulas senario
terbaharu cuaca negara tersebut.
Suhu naik ke paras rekod 45 darjah Celsius pada
hujung minggu lalu, namun cuaca lebih baik diunjur dalam beberapa hari
akan datang ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menjelang
kedatangan bulan Syawal.
Para pegawai perubatan tempatan berkata
hospital-hospital di Karachi sudah merawat hampir 80,000 orang pesakit
bagi kesan-kesan strok haba dan dehidrasi akibat tubuh badan yang teruk
kekurangan cecair.
Bagaimanapun keadaan dilaporkan lebih dahsyat
apabila rumah-rumah mayat pula kehabisan ruang untuk menampung mereka
yang meninggal dunia dan banyak beg mayat terpaksa disusun atas lantai
rumah mayat.
Anwar Kazmi, seorang pegawai kanan pertubuhan
kebajikan Yayasan Edhi berkata: “Unit penyejukan di rumah mayat tidak
berfungsi dengan sepenuhnya ekoran terdapat terlalu banyak jenazah
melebihi kapasiti ideal.”
Menurut Kazmi, pemerintah wilayah tidak banyak
melakukan apa-apa kecuali menyalahkan orang lain malah lebih teruk lagi,
bandar 20 juta penduduk itu kerap berdepan dengan gangguan elektrik dan
kekurangan bekalan air.
“Kami memberi penghormatan kepada doktor
dan kakitangan hospital pemerintah yang terpaksa dikerah bekerja tanpa
mengenal penat lelah untuk merawat jumlah pesakit yang begitu ramai
sepanjang Ramadan,” kata beliau.
Cuaca teruk itu turut melanda bandar-bandar lain
di Pakistan dan keadaan diburukkan lagi apabila tinjauan media tempatan
mendapati banyak kedai enggan menjual ais kepada penduduk pada siang
hari. – Agensi