CyberSecurity Mahu Terus Kekal Dibawah MOSTI

CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI)
ALOR SETAR – Kedudukan CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dikatakan sebagai tepat dan relevan memandangkan agensi itu turut terlibat dalam aspek penguatkuasaan.

CyberSecurity dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya merupakan organisasi pakar teknikal keselamatan siber negara yang diamanahkan untuk memastikan keselamatan ruang siber di seluruh Malaysia.

“CyberSecurity diamanahkan memperkukuhkan pertahanan siber negara secara responsif, proaktif dan saksama.

“Berdasarkan jenis perkhidmatan CyberSecurity yang lebih menjurus kepada strategi, operasi dan tektikal berasaskan teknologi, CyberSecurity Malaysia diletakkan di bawah seliaan MOSTI,” kata kenyataan itu, semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, agensi tersebut juga bertanggungjawab membina kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat dan membudayakan sifat positif, berhemah dan beretika ketika melayari dunia siber.

Selain itu, CyberSecurity juga turut memberi sokongan serta perkhidmatan teknikal kepada sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor pertahanan dan keselamatan, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, air, pengangkutan, kesihatan, makanan dan pertanian, perkhidmatan kerajaan dan kecemasan.

Tambah kenyataan tersebut, CyberSecurity kini turut membantu pihak penguatkuasa undang-undang dengan membekalkan khidmat latihan, pensijilan, taklimat kesedaran serta pengurusan krisis siber.

“Oleh itu, kedudukan CyberSecurity di bawah MOSTI adalah tepat dan relevan memandangkan MOSTI turut menyokong dan bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya agensi penguatkuasa undang-undang, perkhidmatan kecemasan dan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu lagi.

CyberSecurity sebelum ini dilaporkan akan diperkasakan sebagai sebuah subsidiari di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan kawalan terhadap isu berkaitan jenayah siber.

CyberSecurity turut dicadangkan menjadi satu badan khas yang mempunyai kepupayaan memantau dan mengekang ancaman jenayah siber yang boleh menggugat ketenteraman awam.- Kedahnews.com