LANGKAWI - Polis Langkawi menafikan dakwaan pelancong Taiwan baru-baru
ini yang menyatakan anggota keselamatan di pulau peranginan itu memeras
wang mereka, adalah sebagai tidak berasas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Langkawi Deputi Superintendan Jamil Ahmad
berkata pelancong itu membuat dua versi dakwaan kepada stesen televisyen
Taiwan baru-baru ini, iaitu yang pertama mendakwa insiden itu berlaku
dalam sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis dan satu lagi,
di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
Bagi tuduhan pertama, pelancong itu mendakwa pihak polis meminta mereka
berhenti kerana kenderaan tersebut terlebih muatan dan meminta RM300
daripada pemandu dan setiap penumpang sebagai denda.
Jamil memberitahu Bernama beliau telah mendengar dakwaan itu sebelum
ini iaitu sebelum beliau ditukarkan untuk bertugas di Langkawi tetapi
cerita tersebut tidak pernah disahkan.
Bagi tuduhan kedua, warga Taiwan itu mendakwa dia telah dituduh mencuri
sepasang seluar dalam dari butik kecantikan dan aksesori di LTAL dan
mendakwa pihak polis meminta wang untuk membebaskannya.
Jamil berkata tiada cerita seperti itu di pulau peranginan berkenaan
dan adalah tidak mungkin anggota polis daerah menjalankan rondaan di
LTAL kerana tugas itu diambil alih oleh polis bantuan Malaysia Airport
Holdings Bhd (MAHB).
Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong dalam
kenyataan hari ini juga mengesahkan insiden itu berlaku di outlet runcit
di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bukan di LTAL
seperti yang didakwa pelancong tersebut.
Beliau berkata hasil siasatan MAHB dan berdasarkan rakaman kamera litar
tertutup (CCTV) menunjukkan dengan jelas kecurian benar-benar berlaku
antara 3.30 petang dan 4.40 petang di outlet itu dan pelancong berkenaan
dibebaskan oleh polis bantuan selepas tiada bukti ditemui pada mereka.
Wee berkata sementara Tourism Malaysia akan cuba sedaya upaya untuk
menyesuaikan pelancong serta membantu mereka jika menghadapi sebarang
masalah ketika menginap di sini, pelancong seharusnya tidak membuat
dakwaan tidak berasas atau tuduhan terhadap Malaysia.
"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap dakwaan palsu atau tuduhan
yang dibuat terhadap Malaysia. Kami berharap dakwaan palsu itu tidak
akan berulang pada masa depan," tambahnya. - Bernama