DAP Keluar Pakatan Rakyat Jika Abdul Hadi Kekal Presiden - Nasrudin Hassan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi
ALOR SETAR - Parti Tindakan Demokratik (DAP) diramal akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan jawatannya selepas muktamar parti itu minggu ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, tindakan drastik tersebut akan dilakukan DAP berikutan parti itu akan menghadapi kesukaran untuk "menjinakkan" pendirian Abdul Hadi yang kini kental, enggan tunduk lagi pada kemahuan parti tersebut.

"Pemimpin PAS itu mempunyai pendirian tegas dan sukar mengubah keputusan yang dibuat.

"Saya lihat DAP menunggu keputusan muktamar kerana pemimpin yang dipilih bakal mencorakkan PAS dalam PR, sekiranya Hadi masih dikekalkan menerajui PAS, kemungkinan besar DAP keluar PR.

"Saya ramal perkara ini berdasarkan kenyataan mereka sebelum ini," katanya yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.

Selain itu, Nasrudin turut menjelaskan bahawa hubungan sebumbung PAS dan DAP dalam PR diibaratkan "retak menanti belah" akibat isu hukum hudud serta tindakan DAP yang sering menyerang PAS dan pimpinannya tanpa henti.

"Atas dua alasan itu, saya lihat PAS dan DAP ini boleh diibaratkan retak menanti belah.

"Dalam menangani masalah ini, PAS dan DAP perlu duduk semeja dan membincangkan perkara ini bagi memulihkan keadaan selepas muktamar ini.

"Sebolehnya PAS tidak ingin konflik yang berlaku ini tanpa ada pemulihan," katanya lagi.


DAP sebelum ini menghina Presiden PAS sebagai individu yang "tidak bermaruah" dan merupakan seorang "pengkhianat bersiri", serta membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi.

Parti itu juga semalam menegaskan bahawa pihak mereka tidak akan menghantar sebarang wakil ke Muktamar PAS kali ke-61 ini, membayangkan tindakan "boikot" DAP terhadap PAS selain enggan hormat pada parti tersebut. -Kedahnews.com