DAP, PKR Dituduh Penakut Gara-Gara Enggan Bubar DUN Selangor

ALOR SETAR - DAP dan PKR dituduh sebagai "penakut" apabila dua parti itu dilihat teragak-agak untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor kerana khuatir Barisan Nasional (BN) akan menawan semula negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan MCA Selangor, Ng Chok Sin berkata, ketakutan itu diyakini berpunca dari kegagalan dua parti tersebut memberi jawapan yang konkrit berkenaan beberapa isu yang mencetus kekeliruan dan kemarahan rakyat di negeri tersebut.

Antara isu yang dinyatakan Ng ialah mengenai krisis bekalan air dan penyusunan semula bekalan air negeri Selangor, banjir yang berterusan dan permohonan penjualan minuman keras yang membosankan rakyat.

Selain itu, beliau turut "memulangkan paku buah keras" terhadap Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli yang akhirnya mengaku bahawa pilihan raya negeri akan menyebabkan berlakunya pembaziran wang rakyat.

Katanya, Rafizi langsung tidak membangkitkan kebimbangan "pembaziran wang rakyat" apabila merancang "langkah Kajang" yang tidak dipersetujui PAS, pada tahun lalu.

"Apabila rancangan mereka tidak menjadi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah terpaksa menjadi calon, kedua-dua PKR dan DAP seolah-olah tidak nampak mengenai perbelanjaan RM1.6 juta untuk mengadakan PRK Kajang pada Mac tahun lepas," bidas Ng dalam satu kenyataannya, semalam.

Ng dalam kenyataannya turut menuduh DAP dan PKR berat sebelah apabila menggesa supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dalam menghadapi krisis di negeri itu pada tahun 2009. -Kedahnews.com