Pendedahan kononnya ada dokumen ‘bocor’ kerjasama
perniagaan firma pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dengan syarikat PetroSaudi International Ltd. sebenarnya telah pun
diubah suai atau lebih tepat lagi, PALSU!
Sebuah firma keselamatan siber antarabangsa, Protection Group
International (PGI) melaporkan sumber maklumat asal telah diedit
beberapa kali sebelum ia disiarkan menerusi laman web politik Sarawak Report.
Data asal didakwa telah dicuri daripada PetroSaudi dan kemudian
disunting untuk diterbitkan melalui internet namun, siasatan firma
tersebut masih lagi berjalan tetapi amat jelas ia melibatkan kes curi
data berskala besar.
“Penyiasatan analisis kami merumuskan bahawa bekas eksekutif
PetroSaudi, Xavier Andre Justo ialah sumber data yang disiarkan oleh
pihak Sarawak Report,” jelas seorang pakar PGI kepada sebuah akhbar tempatan.
“Sebagai contoh, apabila kami lihat ke dalam sebuah fail PowerPoint yang terdapat pada salah sebuah blog Sarawak Report, kami jumpa bukti metadata fail itu diuruskan oleh ‘xavierj‘ pada 2013,” tambah beliau lagi.
Ini bermakna itu adalah tempoh waktu Justo baharu sahaja dua tahun
dibuang kerja oleh PetroSaudi dan genap empat tahun selepas fail
tersebut diwujudkan oleh sebuah firma guaman yang menjadi penasihat
PetroSaudi.
“Amat jelas bahawa segala set data dicuri itu kurang lengkap dan
menjalani satu proses suntingan setelah dipindahkan daripada sistem asal
PetroSaudi sebelum ia diterbitkan untuk laman internet,” kata pakar PGI
itu.
Terdapat banyak keadaan data itu tidak konsisten antara data
diterbitkan dan data yang sedia wujud dalam fail-fail PetroSaudi
sepanjang tempoh waktu tersebut atau dalam kata mudah, pada asalnya
memang data tidak lengkap.
“Ia kemudian secara kreatif dipilih dan disunting untuk disesuaikan
dengan kehendak jalan cerita tertentu,” kata pakar itu yang menjalankan
siasatan bagi menyiasat ketulenan data diproses Sarawak Report terhadap isu 1MDB.
Justo, warga Switzerland berjaya ditangkap polis Thailand di Koh
Samui pada Isnin sekali gus membongkar kegiatan penipuan hasil penemuan
beberapa komputer, pemacu keras dan alat simpanan data di rumahnya.
Ini termasuk membabitkan rancangan kononnya kerjasama pelaburan
antara 1MDB dengan PetroSaudi yang kemudian dinafikan sendiri oleh
syarikat cari gali minyak berpangkalan di Arab Saudi itu pada Mac lalu.
Akhbar utama Thailand, The Bangkok Post melaporkan, Justo
dipercayai membocorkan maklumat mengenai PetroSaudi kepada sebuah laman
web berita berpusat di Britain yang dikenal pasti sebagai Sarawak Report.
Dalam pada itu, pakar PGI berkata, kebocoran ditemui pada laman Sarawak Report
adalah kes seiras apabila semua data diterbitkan melalui proses
suntingan untuk mencipta kononnya ‘berita buruk’ paling dahsyat.
“Kes ini bermula cerita mudah seseorang yang ada kepentingan peribadi
daripada bekas majikan kemudian menjadi cerita tohmahan politik melalui
penyalahgunaan blog secara tidak bertanggungjawab,” kata beliau.
Lazimnya, kes sedemikian amat popular di Barat khasnya dalam kalangan
pekerja yang tamak atau berniat jahat cuba memindah data rahsia
syarikat untuk diterbitkan secara talian bagi maksud keuntungan diri
sendiri.
“Siasatan PGI membuat kesimpulan, hasil perspekstif pakar dan
forensik siber, maklumat berkaitan isu sensitif 1MDB yang disiarkan
laman internet boleh dianggap langsung tidak boleh dipercayai,” ujar
pakar tersebut lagi.
Sarawak Report pada Februari lalu mendedahkan kononnya ia mendapat
maklumat bocor yang mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low
menjadi orang tengah projek usaha sama PetroSaudi dengan 1MDB. -Kedahnews.com