Kenderaan terbiar dalam tempoh lama ditunda penguatkuasa MPSPK dalam Ops Tunda setelah mendapat aduan orang ramai. |
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Roslin Bakar menjelaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas setelah notis dan amaran dikeluarkan.
Menurutnya, kebanyakan pemilik hanya beranggapan notis yang dikeluarkan MPSPK tidak bernilai memandangkan tiada langkah positif diambil selepas notis diserah.
“Bagaimanapun, pemilik hanya memberikan respons selepas kenderaan mereka dialihkan ke bengkel MPSPK,” katanya ketika ditemui menjalankan Operasi Tunda ke atas sebuah kenderaan di sini kelmarin.
Menurutnya, kebanyakan kes yang dihadapi membuktikan pemilik mengambil sikap tidak peka biarpun selepas beberapa kali amaran lisan dan notis bertulis dihantar.
“Sekiranya pemilik masih gagal bertindak, MPSPK tidak teragak-agak menunda kenderaan terbabit dan mengenakan tindakan undang-undang yang sepatutnya,” katanya
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan Taman Bandar Baru, Sungai Lalang itu sudah diberikan notis sejak 26 April lalu namun, kenderaan terbabit masih dibiarkan di lokasi sama.
“Kita terima aduan dari orang ramai bahawa pemilik menjadikan kawasan perumahan sebagai lokasi meletakkan kenderaan terbiar dalam tempoh lama berbulan-bulan atau melebihi setahun sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam.
“Bagaimanapun, kita terlebih dahulu mengambil tindakan secara berhemah dengan menasihati dan menghubungi pemilik sebelum tindakan keras menunda kenderaan tersebut dilakukan,” katanya.
Katanya, operasi dijalankan 10 anggota penguat kuasa MPSPK yang bermula jam 10 pagi dan mengambil masa beberapa jam kemudian.
Beliau berkata, kenderaan terbabit kemudian dihantar ke bengkel MPSPK sebelum menunggu tuntutan pemilik dibuat serta denda dikenakan.
Katanya, pemilik bertanggungjawab membuat tuntutan kepada MPSPK sekiranya masih mempunyai keinginan mendapatkan kembali kenderaan terbabit.
“Sekiranya tiada tuntutan, MPSPK berhak melucutkan hak sehingga dibuat lelongan awam kepada mana-mana pembida berminat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris berkata, setakat ini sehingga Mei 2015, sebanyak empat kereta, dua van dan sebuah bas ditunda atas kesalahan sama iaitu meletakkan kenderaan terbiar dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, tindakan dilakukan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mengabaikan notis amaran yang dikeluarkan bagi mengelakkan risiko dialihkan MPSPK kerana berdepan denda dan bertanggungjawab menuntut semula kenderaan dengan kos sendiri,” katanya.
Difahamkan, minggu lalu, sebuah kenderaan turut ditunda MPSPK di Bandar Perdana biarpun notis amaran pertama dikeluarkan sejak Oktober 2014.
Sumber: Sinar Harian