Dibantu Unit Amal PAS, Penduduk Serdang Gesa Pihak Berwajib Tangani Banjir

Abd Halim (kiri) dan Mohd Khairie (tengah) menunjukkan parit yang tidak selenggara menyebabkan kawasan tersebut mudah dilanda banjir
SERDANG - Penduduk Kampung Majidee dan Kampung Leret, di sini, menggesa pihak berkaitan bertindak segera menangani banjir yang didakwa berpunca daripada parit yang tidak diselenggara.
 
Penduduk, Abd Halim Ismail, 58, berkata, parit utama di Kampung Majidee sudah dua tahun tidak diselenggara sehingga menyebabkan laluan air terhalang.
 
"Dalam tempoh enam bulan ini, kediaman terutama yang dekat dengan parit utama itu sudah dua kali banjir.
 
“Keadaan parit makin cetek, penuhi tumbuhan liar dan hujan terlalu lama menyebabkan air parit melimpah dan banjir teruk," katanya.
 
Menurut Rokiah Yusof, 71, dari Kampung Leret, walaupun parit di kampung itu diselenggara, kediaman di kawasan itu masih dinaiki air.
 
"Walaupun rumah agak tinggi, air tetap masuk dan pagar rumah ranap disebabkan arus deras Isnin lalu.
 
"Hujan lebat tak berhenti tiga hingga empat jam menyebabkan air lombong dan parit melimpah. Masa itu, saya tak boleh keluar sebab air banjir deras dan mencecah paras satu meter," katanya.
 
Naib Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairie Mohd Salleh berkata, pihak bertanggungjawab perlu menyelesaikan segera masalah ini kerana penduduk rugi sebab harta benda rosak.
 
“Kita minta pihak berkenaan cari penyelesaian seperti bina saliran yang lebih sistematik.
 
"Kita juga harap parit dibersihkan secara berkala. Sungai yang semakin cetek juga patut didalamkan bagi menampung air apabila berlaku hujan lebat berpanjangan," katanya.
 
Pihaknya telah memberikan sumbangan makanan dan keperluan lain kepada mangsa yang terbabit banjir, Isnin lalu.
 
“Kita dibantu Unit Amal Pas bantu mangsa banjir berpindah, menyediakan makanan dan memberikan beberapa sumbangan lain bagi meringankan beban," katanya.