Gambar Hiasan |
KUALA TERENGGANU – Seorang duda yang disifatkan gila talak nekad
melanggar bekas isterinya hanya kerana cemburu selepas mengetahui bekas
isterinya itu mempunyai teman lelaki baru.
Kejadian berlaku di Kampung Baru Kemasik, Chukai, Kemaman, Khamis lalu, kira-kira jam 10 malam.
Akibatnya mangsa berusia 31 tahun cedera di belakang kepala dan calar di kaki akibat dilanggar suspek, 35.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd
Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian itu hanya disedari anak perempuan
mereka yang berusia 16 tahun selepas terdengar bunyi kuat di hadapan
rumah, lalu membuat pemeriksaan.
“Anak perempuan pasangan itu melihat sebuah kereta berada di dalam
garaj kereta dengan keadaan menghala ke hadapan rumah dan pada masa
sama, remaja terbabit melihat ibunya terbaring di hadapan kereta
tersebut.
“Dia juga melihat bapanya berada di lokasi menyebabkan dia bertanya
kepada bapanya itu tujuan dia berada di situ, dan berlaku pertengkaran
mulut di antara dua beranak itu sebelum suspek melarikan diri,” katanya.
Wan Abd Aziz berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kemaman dengan
ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang
untuk rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek sudah bercerai dan suspek
dipercayai bertindak sedemikian kerana cemburu dengan mangsa yang sudah
mempunyai teman lelaki baru.
“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan
membunuh,” katanya. - Sinar Harian