'Duri Hitam' |
Musim durian kali ini pasti lebih meriah dengan kemunculan semula
'Duri Hitam', selain Musang King dan D24 untuk memenuhi selera penggemar
durian di sini.
Juga dikenali sebagai 'Ochee', Duri Hitam yang rasanya sungguh
istimewa dan sukar untuk dijelaskan, adalah antara jenis durian yang
paling menjadi sebutan peminat raja buah itu.
Durian spesies unik itu juga sukar diperoleh dan hanya beberapa gerai di sini yang menjualnya.
Pemilik gerai Durian King Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Erik Ong berkata
bagi penggemar durian, Duri Hitam adalah hidangan wajib pada setiap
musim kerana durian jenis itu mempunyai keenakan tersendiri serta
berbeza mengikut musim.
"Walaupun Musang King antara jenis yang digemari ramai, Duri Hitam
mempunyai keunikan tersendiri dan pasti memikat selera anda," katanya.
Mengenai rasanya, Erik berkata isi Duri Hitam sangat lemak, tebal dan berwarna oren pekat serta amat luar biasa keenakannya.
Pemilik gerai di tempat letak kenderaan Pasar Besar TTDI itu berkata
ketika mula berniaga di situ Jumaat lepas, dia mendapat bekalan
kira-kira 800 kilogram Duri Hitam dari Kedah, dan hanya lebih kurang
200kg yang masih berbaki untuk dijual.
Duri Hitam berharga sekitar RM35 hingga RM40 sekilogram, bergantung kepada keadaan pasaran.
Bersempena pembukaan rasmi gerainya, Erik melancarkan pelan pemasaran
istimewa termasuk pemberian durian Musang King, D24 dan Udang Merah
secara percuma kepada orang ramai selama tiga hari mulai Jumaat.
"Kami memesan lebih satu tan durian pelbagai jenis untuk tujuan ini
setiap hari dan sekiranya bernasib baik, anda akan mendapat Duri Hitam
juga," katanya sambil menjelaskan bahawa acara itu bermula 8 malam
hingga habis bekalan serta berdasarkan siapa cepat, dia dapat.
Erik juga menawarkan kepada pelanggannya percutian mewah secara
percuma ke Langkawi dengan hanya memuat naik gambar mereka pada acara
itu ke laman Instagram dengan hashtag #duriankingttdi dan mereka yang
mendapat paling banyak 'like' akan diisytihar sebagai pemenang.
Sumber: mStar