PUTRAJAYA – Buah durian di pasaran tempatan, termasuk yang diimport,
tidak mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai,
kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana
aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa
dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat.
Katanya jika pengguna berasa ragu-ragu dengan status keselamatan
sesuatu makanan di pasaran tempatan, mereka boleh memaklumkannya kepada
Kementerian Kesihatan.
“Maklumat boleh disalurkan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau
Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tersebar
mengenai durian dicelup dengan bahan kimia beracun bagi memanjangkan
jangka hayat serta kesegaran buah berkenaan sebelum dijual di pasaran.
Menjelas lanjut mengenai isu itu, Dr Noor Hisham berkata menjadi
kesalahan bagi mana-mana pihak mengimport, mengedar, menyimpan atau
menjual makanan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan
kesihatan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983.
Sesiapa yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000
atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya
sekali. – BERNAMA