Nik Raina Nik Aziz |
KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari
ini menarik balik rayuan terhadap pembebasan pekerja kedai buku Borders,
Nik Raina Nik Aziz, daripada pertuduhan mengedar buku penulis
kontroversi, Irsyad Manji.
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh yang
mempengerusikan panel tiga hakim sebulat suara membenarkan permohonan
untuk menarik balik rayuan itu oleh ketua pendakwa Syarie Mohammad Adib
Husain.
“Selepas meneliti permohonan daripada Ketua Pendakwa Syarie dan tiada
bantahan dikemukakan mana-mana pihak, mahkamah membenarkan permohonan
dan rayuan dibatalkan,” kata hakim itu.
Pada 26 Feb lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohd Amran Mat Zain
melepas tanpa membebaskan Nik Raina daripada pertuduhan itu dan pada 9
Mac, Jawi memfailkan rayuan terhadap pembebasan berkenaan.
Pada 19 Jun 2012, Nik Raina didakwa mengedar buku ‘Allah, Kebebasan
dan Cinta’ karya penulis kontroversi, Irshad Manji, yang bertentangan
dengan hukum syarak di kedai buku Borders di The Gardens Mall, Mid
Valley.
Nik Raina didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara menjual buku
bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan
kebebasan dengan iman) terjemahan buku tulisan Irshad yang bertajuk
‘Allah, Liberty and Love’ (The courage to reconcile faith and freedom)
yang bertentangan dengan hukum syarak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik
Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid
Valley City, antara 8.41 dan 9.45 malam pada 23 Mei 2012.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 13(1) Akta
Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang
membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun
atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui pemberita, Nik Raina, 39, ditemani peguam Rosli Dahlan
melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan mahkamah itu,
selain berharap pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadapnya
kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Hari ini genap tiga tahun sebulan prosiding kes ini dan biarlah kes
hari ini adalah terakhir dalam hidup saya,” kata Nik Raina, yang kini
pengurus bahagian latihan di Borders The Curve. – BERNAMA