Erra Sahkan Dirinya Kini Bertudung Litup, Berhijrah Sempena Nisfu Syaaban

ALOR SETAR - Diva jelita negara, Erra Fazira menjelaskan bahawa hasratnya untuk bertudung litup semakin kuat bersempena nisfu Syaaban sehingga mendorongnya untuk terus beristiqamah kekal dengan imej bertudung litup.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek yang kini berusia 41 tahun itu turut meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT yang membuka hatinya untuk bertudung, cuba menutup aurat sepenuhnya.

"Alhamdulillah... Allah bukakan hati ini. Sebenarnya sudah lama dah (hasrat mahu bertudung), tetapi rasa itu terpanggil kuat apabila masuknya Nisfu Syaaban.

"Dah tak mahu fikir-fikir panjang dan mencari alasan lagi, laksanakan terus niat itu," kata Erra yang dipetik dari sebuah portal semalam, sekaligus mengesahkan imej bertudung sepenuhnya bersempena dengan malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam Isnin lalu.


Kata Diva itu lagi,  beliau sudah lama berhasrat untuk mengenakan tudung dan sudah tiba masanya dia mengubah penampilannya ke arah wanita muslimah memandangkan niat itu sudah lama disimpan itu.

Pun begitu, sebagai orang baru yang berhijrah dalam usaha menjadi wanita muslimah sejati, Erra berharap agar semua pihak mendoakan kebaikan buat dirinya dan bukan menghentam.

Erra benar-benar berharap agar keputusannya memakai tudung tidak menjadi bahan bualan orang ramai khususnya pengikut media sosial sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan gaya penampilan barunya itu.

"Kita sepatutnya mendoakan dan saya percaya perlahan demi perlahan saya dan mereka (yang berhijrah) akan melakukan perubahan mutlak.

"Janganlah hentam yang teruk benar. Menegur tidak salah, tetapi biarlah berhemah. Yang penting penghijrahan itu dalam diri," katanya lagi.


Tambah ibu tunggal itu, beliau juga berharap mudah-mudahan penghijrahannya itu akan dipermudahkan Allah SWT dan imej muslimah tersebut akan kekal buat selama-lama untuk dirinya.

Syabas Erra! -Kedahnews.com