BELURAN – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang
ditubuhkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, dua tahun
lepas kini berdepan ‘musuh dalam selimut’ dalam usaha mempertahankan
kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur
Sabah (Esszone).
Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal Esscom SAC Rosli Mohd Isa
berkata bagi mengatasi ancaman itu, kerjasama dan sokongan semua pihak,
terutama komuniti pesisir pantai Esszone amat penting, sekali gus
memastikan kawasan itu sentiasa selamat, aman dan damai.
“Sebagai contoh kes penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan
baru-baru ini…tidak mungkin penjenayah datang terus dari negara jiran,
tahu bila mahu masuk dan keluar dari perairan Sandakan dengan selamat
dan tahu sasaran mereka, termasuk individu yang bakal diculik.
“Penjenayah ini kelihatan serba mengetahui kerana ada orang dalam
yang memberi maklumat. Inilah cabaran kita…musuh dalam selimut. Tali
barut ini yang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) ada di mana-mana
dalam kalangan kita terutama di perairan Esszone,” katanya ketika
menyampaikan ceramah keselamatan pada majlis berbuka puasa anjuran
Esscom di Masjid Nurhidayah Kampung Kolapis, dekat sini Isnin malam.
Sehubungan itu, Rosli meminta komuniti Esszone supaya segera
melaporkan kehadiran PATI atau individu yang meragukan di kampung
masing-masing bagi membolehkan pihak keselamatan bertindak awal
mengekang jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.
“Walaupun Esscom sudah berkali-kali merayu orang ramai, termasuk
ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung supaya melaporkan kehadiran PATI di kawasan masing-masing, namun
masih ramai yang tidak berbuat demikian.
“Apabila pihak keselamatan melancarkan operasi memburu PATI, ramai
yang ditangkap tetapi tidak dilaporkan seperti yang diminta. Jadi,
sempena bulan puasa yang mulia ini, bantulah dan salurkan maklumat
kepada Esscom…mungkin ada di kalangan PATI ini menjadi tali barut
penculik dari negara jiran. Soal keselamatan tanggungjawab kita
bersama,” katanya.
Rosli berkata Esscom yang mempunyai sekitar 150 staf komponen
keselamatan ‘tidak boleh berdiri sendirian’ tanpa sokongan dan kerjasama
orang ramai, khususnya penduduk tempatan di Esszone.
“Bayangkan sahaja, tanah kebun kita sendiri, misalnya, seluas 6
hektar pun bukan senang dikawal apa lagi kawasan Esszone meliputi
kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer dari Kudat hingga ke Tawau,”
katanya.
Beliau turut menyeru penduduk pesisir pantai, termasuk di daerah
Beluran supaya sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan
kerana ‘kita tidak tahu bila penjenayah rentas sempadan ini bergerak
melakukan jenayah penculikan yang didalangi orang dalam’. – BERNAMA