FAM Dicadang Batal Semua Perlawanan Sepanjang Ramadhan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
KUALA TERENGGANU – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji balik untuk mengadakan perlawanan dalam bulan Ramadan pada musim depan.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata, FAM perlu menilai kembali perkara tersebut bagi menghormati bulan puasa itu selain majoriti pemain bola sepak profesional di negara ini adalah beragama Islam.

Ujar beliau, sepatutnya FAM membatalkan keseluruhan perlawanan sepanjang bulan Ramadan ini dan bukan hanya sesetengah negeri sahaja yang dibenarkan menunda perlawanan melibatkan pasukan mereka.

“Kita telah bersepakat untuk menyatakan bantahan kepada FAM berhubung perlaksanaan perlawanan sepanjang bulan puasa dan kita berharap pada musim depan, FAM mendapat satu keputusan yang terbaik.


“Kalau permohonan Kelantan (untuk menunda perlawanan) boleh diterima, mengapa kebenaran sama tidak diberi kepada semua negeri dan ia perlu dilakukan demi menghormati bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita.

Wan Ahmad memberi contoh, ketika pemain rancak bermain di tengah padang pada perlawanan pertama Terengganu menentang Johor Darul Takzim (JDT) Sabtu lepas, orang ramai masih menunaikan solat Tarawih.

Beliau berkata walaupun hanya sekadar hukum sunat jika melakukan solat Tarawih dan bukan tuntutan fardu, namun sebagai umat Islam, kesucian bulan mulia ini harus dihormati.

“Kita harap pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan yang ada sepanjang bulan ini tetapi pada masa sama, FAM dapat menilai kembali perkara ini,” katanya. – Bernama