DHAKA — Sebuah fatwa dikeluarkan badan pemerintah
tempatan yang melarang seseorang menjalankan ibadah solat sambil duduk
di kerusi ketika berada di dalam masjid mencetuskan kritikan keras umat
Islam Bangladesh.
Sebahagian besar rakyat Bangladesh yang majoritinya Muslim
menyifatkan fatwa terbaharu itu akan menyebabkan golongan lanjut usia
dan mereka yang lemah anggota badan lebih sukar untuk melakukan ibadah
fardu tersebut.
The Islamic Foundation, sebuah badan autonomi milik
pemerintah pada akhir minggu lalu mengeluarkan fatwa yang mengharuskan
umat Islam agar melaksanakan rukun Islam kedua itu hanya di atas
hamparan sejadah.
Namun, fatwa berkenaan mengundang kecaman dari sejumlah ulama
tempatan dan pegawai kerajaan bahkan dibawa kepada Perdana Menteri,
Sheikh Hasina Sheikh Mujibur Rahman dalam mesyuarat kabinet mingguan.
Pemimpin Bangladesh itu ketika mesyuarat tersebut dilaporkan sangat
terkejut dengan penerbitan fatwa berkenaan manakala pelbagai organisasi
Islam tempatan memberi reaksi marah menentang hujah fatwa terbabit.
“Kami amat membantah keras fatwa yang aneh dan tidak dapat diterima
ini,” kata Abdul Latif Nejami menerusi kenyataan bersama diterbitkan
kelompok ulama dan tokoh Muslim negara rantau Asia selatan tersebut pada
Rabu lalu.
“Kerusi sebenarnya sudah digunakan umat Islam khasnya untuk
menggalakkan kurang upaya mudah bersolat di ratusan ribu buah masjid
seluruh Bangladesh sejak sekian lama tanpa apa-apa masalah pun,” kata
beliau lagi.
Secara tradisional, umat Muslim memang melakukan ibadah solat dengan
bersujud di lantai, namun beberapa tahun lalu, masjid-masjid Bangladesh
menyediakan kerusi bagi warga emas atau mereka yang sakit tubuh badan.
Dalam pada itu, Ketua The Islamic Foundation, Shamim Afzal
berhujah: “Kami menerbitkan fatwa ini dengan menyesuaikan tradisi amalan
sunah yang lazim dilakukan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat
baginda.
Kewujudan kerusi menjejaskan nilai keindahan masjid dan langkah
serupa juga dilakukan umat Muslim di India. “Tiada contoh dalil dari
Rasulullah solat sambil duduk di atas kerusi,” ujar Afzal. — Agensi