Gadis Dibuang Bapa Kandungnya...

Saya anak perempuan sulung daripada tiga adik beradik. Ibu bapa saya telah bergaduh dan bapa melafazkan “aku ceraikan hang” (kepada ibu) dan hangpa semua (kepada saya dan adik bongsu) semasa kejadian. Bapa juga menghalau kami keluar dari rumah.

Kami tidak keluar rumah, cuma saya, adik lelaki dan ibu bermalam di rumah makcik. Selepas pulang, kami lihat bapa sudah kosongkan almarinya dan tinggalkan rumah. Selama tiga minggu bapa keluar rumah, ibu telah melaporkan kepada pejabat agama dan mahkamah syariah mengeluarkan surat supaya mereka hadir ke mahkamah untuk menentukan perceraian tersebut. 

Namun, bapa tidak mahu menerima surat tersebut dan meminta ibu dan adik bongsu pindah ke rumah baharunya. Saya dan adik kedua pula diminta cari rumah sendiri kerana dia sudah tidak mahu membela dengan alasan kami sudah besar. Saya bingung kerana saya baru bekerja selepas tamat belajar tahun lalu. Saya ada beri duit bulanan kepada ibu bapa dan adik saya.

- Anak tertekan, Selangor.

UKE: Berat masalah anda ini dan saya amat bersimpati dengan nasib anda. Apa punca masalahnya sampai sanggup buang anak sendiri. Tanggungjawab bapa adalah melindungi keluarga.

Masalah perceraian tadi anda hendaklah menasihati ibu untuk terus usaha ke pejabat agama atau mahkamah bagi menentukan kedudukan lafaz cerai tersebut.  Buat sementara waktu ini jika ayah telah menghalau anda keluar maka ada baiknya anda sewa di luar buat sementara waktu sehingga keadaan reda.

Jika tidak cukup perbelanjaan maka tak perlulah anda memberi sumbangan kepada bapa kerana keperluan anda lebih mendesak. Saya yakin apabila semua bertenang, masalah ini akan selesai.  Ada baiknya anda menghubungi datuk atau opah (nenek) anda dan ayah saudara atau ibu saudara supaya campur tangan dalam hal ini.

Mereka tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dalam masa sama, anda perlu bertenang dan teruskan kehidupan serta tumpukan kepada pekerjaan kerana itu adalah masa hadapan anda.  Jadilah orang yang kuat semangat dan tidak ada istilah anda tertekan dengan masalah. Pegang prinsip ini. Setiap masalah akan selesai, cuma lambat atau cepat.



Sumber: Utusan