Jenazah Nurul Syuhada dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Layar. |
Nadia Md Abdul Rahman, 19, dari Kampung Sungai Layar Hujung bersama
rakannya, Nurul Syuhada Roslan, 20, dari Kampung Keda Che Bema maut
dalam kemalangan dekat Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani kira-kira
jam 2.45 pagi semalam.
Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang dua rakan
karib tersebut melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan.
Ibu Nadia, Fazilah Baharom, 47, berkata, sehari sebelum kejadian, anak
bongsu daripada tiga beradik itu meminta dia menemaninya untuk mengambil
kad pengenalan baharunya yang sudah siap di Pejabat Pendaftaran Negara
di Sungai Petani.
“Selepas mengambil kad pengenalan, kami membeli-belah untuk mencari
baju raya tetapi arwah berkeras tidak mahu saya membelikannya baju
kurung.
“Katanya, jika beli pun, dia tidak akan pakai,” katanya kepada Sinar
Harian ketika ditemui di Jabatan Fosensik Hospital Sultan Abdul Halim
Sungai Petani, semalam.
Menurut Fazilah, dia hanya membelikan baju kemeja kepada anak bongsunya itu setelah diminta berbuat demikian.
“Ia seolah-olah petanda menunjukkan dia tidak akan beraya bersama saya pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, bapa Nurul Syuhada, Roslan Saad, 52, berkata, malam sebelum kejadian, anaknya berada di rumah seperti biasa.
Menurutnya, dia tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
"Saya difahamkan ketika kejadian, anak saya keluar untuk membeli kad tambah nilai telefon prabayar di kedai,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin yang
mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu lori sudah ditahan untuk
siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian