Gempa Sabah: Kerajaan Negeri Isytihar Isnin Hari Berkabung

Kerajaan Negeri Sabah semalam mengisytiharkan Isnin ini sebagai hari berkabung dan bendera dikibar separuh tiang bagi menghormati kesemua mangsa yang terkorban dalam tragedi gempa bumi pagi semalam.

Selain itu, majlis sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan yang dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ranau turut dibatalkan.

musapeak

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah sangat bersedih dengan bencana yang turut menimpa pelancong asing ini.

“Sebagai penghormatan, Isnin ini diisytihar sebagai hari berkabung untuk negeri Sabah,” katanya pada sidang media di Taman Kinabalu sebentar tadi.

Setakat ini, hanya 11 mayat yang dipercayai merupakan pendaki Gunung Kinabalu telah berjaya ditemui, manakala baki lapan lagi individu dilaporkan masih hilang.

Bencana alam ini turut membawa kemusnahan di gunung kebanggan rakyat negara ini apabila terdapat bahagian yang dikenali sebagai Donkey’s Ear, yang sering dijadikan latar belakang untuk bergambar di Gunung Kinabalu mengalami perubahan yang agak ketara.