Gempa Sabah: Mohd Najib Luah Rasa Sedih Dari Arab Saudi, Tunai Solat Hajat Malam Ini

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Arab Saudi menzahirkan rasa simpati dan sedih di atas kejadian gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.

Selain itu, Najib turut mengatakan bahawa beliau akan mengadakan solat hajat di bumi anbiya itu malam ini.

“Saya berasa sedih membaca laporan kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah. Begitu ramai nyawa yang terkorban, infrastruktur dan bangunan yang mengalami kerosakan. Ada juga masih belum dijumpai.”

“Saya memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan untuk mencari dan menyelamatkan semua orang yang masih terkandas di kawasan pergunungan.

“YAB TPM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara kini berada di Sabah untuk memantau situasi dan mengurus tadbir operasi di sana.

“Saya difahamkan bahawa setakat ini, seramai 168 mangsa telah diselamatkan, dengan 19 mangsa terkorban, 8 dari Singapura, 4 dari Malaysia, dan seorang masing-masing dari Jepun, China dan Fillipina. Seramai 56 anggota mencari dan menyelamat masih berada di pergunungan untuk membawa turun 5 lagi mayat mangsa yang belum dikenal pasti.

“Takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam gempa bumi di Sabah. I convey my deepest sympathy and condolences to the families of those who lost their lives in the earthquake in Sabah.

“Sebanyak 23 bangunan sekolah dan infrastruktur seperti jalan raya yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah akan memantau, menyediakan laporan dan mengambil tindakan segera untuk memastikan kesemua ini diperbaiki secepat mungkin demi keselesaan masyarakat terutamanya pelajar di Sabah.

“Anggota serta aset Angkatan Tentera Malaysia berada pada keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan, manakala Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terdiri daripada paramedik, jurutera dan penyelamat telah pun digerakkan bagi membantu dalam apa bentuk sekalipun.


“Wajarlah kita berterima kasih kepada semua yang membantu usaha pencarian, terutamanya malim gunung yang banyak berkorban bagi membantu mangsa gempa bumi.

“Walaupun saya kini berada di Jeddah untuk lawatan rasmi, Menteri-menteri, MKN serta agensi Kerajaan yang terlibat dengan kerja menyelamat dan pemantauan keadaan di Sabah sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada saya.

“Insyallah, bersama-sama mereka yang ada di sini, Solat Hajat akan diadakan malam ini. Moga Allah SWT memelihara rakyat Malaysia terutamanya di Sabah dan memudahkan usaha menyelamat.

“Saya harap semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa atau agama akan terus berdoa untuk keselamatan rakyat Sabah,” kata beliau dalam kenyataan tersebut. -Kedahnews.com