RANAU – Tiga pendaki, iaitu antara 137 pendaki yang terkandas di
Gunung Kinabalu, menyifatkan malim gunung telah melaksanakan misi yang
sangat besar dan hebat.
Malim gunung menjadi penyelamat dan sanggup mempertaruhkan nyawa
mereka untuk memastikan semua pendaki selamat tiba di Pondok Timpohon,
laluan permulaan untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu,
gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Seorang pendaki yang ingin dikenali sebagai Abbie, 24, berkata, malim
gunung sentiasa memberi komitmen penuh untuk memastikan semua pendaki
selamat turun.
“Mereka melakukan misi yang luar biasa dan menakjubkan,” kata pemuda
dari Kuala Lumpur ini yang terkandas di Gunung Kinabalu susulan gempa
bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada 7.15 pagi semalam.
Abbie, yang selamat tiba di sini kira-kira 3 pagi ini, berkata malim
gunung juga membuat laluan baharu memandangkan laluan utama telah rosak
dan tidak dapat dilalui akibat gempa bumi. – BERNAMA