Gempa Sabah: RM1,000 - RM10,000 Sumbangan Untuk Keluarga Mangsa - Muhyiddin

MUHYIDDIN meninjau keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau yang mengalami kerosakan selepas dilanda gempa bumi Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR - Waris atau keluarga mangsa warga Malaysia yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah, tetap menerima bantuan wang ehsan sebanyak RM1,000 meskipun mereka tidak cedera dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rasional memberikan sumbangan tersebut adalah disebabkan mangsa terpaksa menghadapi trauma akibat bencana berkenaan.

"Bagi rakyat Malaysia yang berada di tempat kejadian tetapi tidak cedera, kerajaan menyumbangkan RM1,000 seorang.

"Bantuan itu disalurkan kerana mereka masih trauma selepas kejadian itu," katanya pada sidang media di luar Restoran Liwagu, Ranau, yang dipetik dari Berita Harian, hari ini.

Muhyiddin mengumumkan bahawa setiap keluarga rakyat Malaysia yang terkorban dalam gempa bumi di Gunung Kinabalu yang berlaku kelmarin akan menerima wang ehsan sebanyak RM10,000.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu pula akan menerima bantuan sebanyak RM2,000.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa sebanyak RM5,000 daripada wang ehsan itu adalah merupakan sumbangan dari Kerajaan Pusat, manakala selebihnya oleh kerajaan negeri.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi kelmarin, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda kawasan Ranau di Sabah, menjadikannya gempa bumi terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil sehingga malam tadi dan ia turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. - Kedahnews.com