Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria |
ALOR SETAR - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberi pandangan bahawa sukan gimnastik bukanlah satu acara untuk disertai oleh wanita Islam ekoran pemakaiannya yang mendedahkan aurat dan memperlihat bentuk tubuh dengan jelas.
Beliau berkata, seorang wanita Islam yang mahu menyertai acara sukan itu perlu memakai pakaian yang menutup aurat dan tindakan itu dilihat tidak sesuai dengan etika sukan berkenaan yang memerlukan pesertanya memakai pakaian tertentu yang terdedah.
Atlet gimanstik negara, Farah Ann Abdul Hadi |
“Gimnastik, bukan untuk wanita Islam, menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka.
“Jika mahu juga menyertainya, gimnas berkenaan perlu mencari serta
memakai pakaian yang menutup aurat dan sekaligus mungkin tidak sesuai
dengan sukan berkenaan.
“Memang itu yang seharusnya, bukan sahaja gimnas, ia termasuk sukan
lain seperti bola sepak kepada lelaki, sepatutnya seluar melepasi paras
lutut,” ujar beliau yang dipetik dari Astro Awani.
Menurut beliau lagi, hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim seperti
termaktub dalam Al-Quran seharusnya tidak dipandang enteng oleh
mana-mana individu Islam.
Kata beliau, isu tersebut sememangnya sudah jelas sejak dahulu lagi
dan mereka seharusnya tidak terikut-ikut dengan budaya yang dibawa
barat.
Mufti Perak berkenaan dipercayai mengulas mengenai isu pemakaian atlet gimanstik negara, Farah Ann
Abdul Hadi menerusi sekeping gambar yang dikatakan terlalu seksi telah dimuat naik di laman Facebook TV3 lantas menjadi bahan
kritikan masyarakat Islam Malaysia dua hari lalu.
Sebelum ini, isu tersebut turut mencuri perhatian Pakar Psikologi di
Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti
Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor yang meminta supaya
masyarakat bersifat adil terhadap atlet berusia 21 tahun itu.
Komennya, tindakan menghentam dan gemar melihat kelemahan pihak lain
menjadi fenomena biasa yang berniat untuk sengaja menimbulkan sensasi.
Ia mula menjadi bualan setelah gambar atlet tersebut yang masih
menyarung pakaian ketat ketika bertanding dimuat naik ke laman sosial.
Ramai pihak menghamburkan kutukan kerana Farah Ann tidak peka
terhadap keadaan bahagian kemaluannya yang menonjol dan tidak ditutup
dengan seluar trek. -Kedahnews.com