Guan Eng Mahu PAS Arah Semua Wakilnya Letak Jawatan Jika Ada Maruah

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta PAS supaya mengarahkan semua wakil parti itu di dalam Kerajan Negeri pimpinannya supaya meletak jawatan sekiranya mereka masih mempunyai maruah diri.

Kata Guan Eng, wakil-wakil PAS itu perlu meletak jawatan jika benar mereka berpegang pada prinsip dan harus berani melepaskan jawatan yang disandang.

"Saya minta kepimpinan baharu Pas supaya mengarahkan wakil Pas dalam kerajaan negeri meletak jawatan. Saya rasa hanya dengan tindakan sedemikian sahaja menunjukkan mereka masih ada maruah.

"Sekiranya mereka berpegang kepada prinsip dan tidak pada jawatan, maka mereka harus mengambil tindakan susulan dengan berani mengarahkan yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletak jawatan," kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan PAS bahawa jawatan di dalam yang disandang oleh wakil-wakil parti itu adalah dibawah bidang kuasanya selaku Ketua Menteri dari parti DAP, selain bidang kuasa Kerajaan Negeri pimpinannya.

"Jangan gunakan alasan sebagai wakil PAS dalam Pakatan Rakyat dalam kerajaan negeri. Sangat tidak masuk akal untuk mereka bekerjasama sedangkan PAS telah memutuskan hubungan.

"Saya harap mereka faham, macam mana boleh bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang sedangkan mereka telah putuskan hubungan dengan saya selaku Ketua Menteri. Kalau putuskan hubungan DAP, saya setiausahanya, jadi harap mereka (PAS) faham," sindir Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini membentangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP dan usul tersebut diterima sebulat suara oleh para perwakilan parti itu yang hadir dari seluruh negara.

Bagaimanapun, usul berkenaan yang diterima oleh pucuk pimpinan PAS difahamkan bakal dibincang di dalam satu mesyuarat Majlis Syura untuk dibahas dan diputuskan dalam masa yang terdekat. -Kedahnews.com