Gunung Kinabalu Dijangka Boleh Didaki Semula September Ini

Mendaki Gunung Kinabalu: Gambar Hiasan
KUNDASANG – Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu dijangka dibuka semula pada awal September ini, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Bagaimanapun, beliau berkata kapasiti pendaki akan dikurangkan separuh daripada jumlah biasa, iaitu daripada 192 pendaki kepada kira-kira 90 sahaja, pada peringkat permulaan pembukaan semula aktiviti pendakian tersebut.

“Keselamatan pendaki menjadi keutamaan. Kita tidak mahu mengambil risiko mengambil jumlah biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang ihsan kerajaan kepada mangsa gempa bumi pada 5 Jun lepas, di sini, hari ini.

Seramai 90 mangsa masing-masing menerima bantuan wang ihsan RM2,000 pada majlis itu yang dianjurkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun menyampaikan sumbangan wang RM2,000 daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah kepada mangsa bencana gempa bumi di Dewan Kinabalu hari ini. - Foto BERNAMA
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha MKN Sabah Mohd Rodzi Md Saad.

Mengulas lanjut, Masidi berkata kerja-kerja pengubahsuaian dan membaik pulih laluan sedang dijalankan dan turut melibatkan kepakaran teknikal.

“Ini yang kita khuatir akan melambatkan kerja pembaikan. Bukan itu sahaja, kerja-kerja pembaikan ini juga tertakluk kepada tidak ada lagi gegaran susulan.

“Tetapi, nampaknya gegaran susulan masih lagi aktif dan sehingga semalam, sebanyak 91 gegaran susulan direkodkan,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan Taman-Taman Sabah juga akan sentiasa memberi apa sahaja maklumat terkini yang berkaitan termasuk kerja membaik pulih laluan menerusi laman web www.sabahparks.org.my. – BERNAMA