Guru Korban Nyawa Lindungi Anak Murid Dari Dihempap Batu

SINGAPURA – Apabila batu-bata besar dan bongkah jatuh di Gunung Kinabalu semasa gempa melanda Sabah pada Jumaat lalu, lapan guru Sekolah Rendah Tanjong Katong di republik ini sanggup berkorban nyawa.

Tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri, sebaliknya menggunakan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi nyawa 29 murid darjah enam sekolah tersebut, lapor akhbar popular tempatan TODAY pada Isnin.

Beberapa ibu bapa memberitahu akhbar tersebut bagaimana anak mereka yang terselamat daripada bencana alam terburuk itu menceritakan kisah berkenaan sambil memuji keberanian guru-guru mereka bersabung nyawa.


Hazreen Hussain, 38 tahun, yang anak perempuannya antara selamat, berkata: “Berdasarkan apa yang saya dengar sendiri daripada murid-murid itu, guru tersebut, meskipun diri sendiri cedera, bertindak dengan berani.

“Cikgu ini melindungi murid-murid sehingga ada daripada mereka itu yang cedera terkena batu-bata. Jika anda tanya saya, para gurulah yang wajar digelar sebagai hero tragedi tersebut,” menurut ejen hartanah tempatan itu.

Alec Wing pula menceritakan apa yang diberitahu anaknya, Tristan, 12 tahun: “Apabila gempa, guru meminta murid berkumpul, dan cuba melindungi mereka daripada dihempap oleh bongkah-bongkah yang jatuh.”


Beliau yang juga penduduk tetap berasal dari Mauritius dan bekerja di sektor teknologi di Singapura menambah bahawa sekolah itu dan para gurunya telah menjalankan tugas melebihi daripada tanggungjawab hakiki mereka.

“Ramai guru yang menyertai lawatan tahunan itu tidak menghiraukan keselamatan diri mereka, walaupun ada yang cedera teruk. Semangat dan keberanian mereka amat mengagumkan kami sebagai ibu bapa murid,” ujarnya.

Seorang waris, Hafiz Ahmad pula berkata salah seorang guru sekolah rendah itu melindungi anak saudaranya, Amal Ashley Lim dan seorang lagi murid daripada batu-bata besar yang tiba-tiba jatuh apabila gempa melanda.


Sementara itu, seorang murid Sekolah Rendah Tanjong Katong yang terlibat dalam program itu, Tristan Wing turut mengimbas kembali kejadian mengerikan tersebut pada pagi Jumaat lalu kepada akhbar TODAY.

Katanya dia bersiap sedia untuk mendaki puncak tertinggi di rantau Asia tenggara itu menerusi laluan Walk the Torq sepanjang 430 meter apabila bongkah-bongkah Gunung Kinabalu mula jatuh ke tepi kawasan gunung.

Dalam sekelip mata, dia yang sebelum itu begitu teruja untuk menyertai ekspedisi tersebut bersama-sama guru dan rakan-rakan lain serta merta melutut apabila seorang malim gunung Taman Sabah berteriak amaran.


Dalam pada, bapa Tristan, Wing berkata, beliau berterima kasih kepada para guru sekolah itu yang membantu anaknya dan murid lain walaupun ada antara mereka tidak bernasib baik serta terbunuh dalam kejadian tersebut.

“Anak saya boleh rasa bongkah terkena begnya,” ujar beliau sambil menambah bahawa murid dan guru lain serta malim gunung, mengambil masa tiga jam untuk turun dari gunung dan tiba di sebuah kawasan yang selamat.

“Kami sedang memantau anak kami untuk mengesan sebarang tanda trauma. Bagi mereka yang maut, kami turut dukacita dan bersimpati. Tiada ibu bapa yang sepatutnya mengalami pengalaman ini.” – Agensi