Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Hanya 2.2 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia
menderma darah berbanding 3.5 hingga lima peratus yang dicatatkan di
negara maju, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata, masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang takut menderma darah kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan.
Menurutnya, pada tahun lepas, sebanyak 675,315 beg darah berjaya
dikutip daripada penderma darah di seluruh negara, yang telah diproses
dan digunakan untuk merawat 337,807 pesakit yang memerlukan.
“Ini bermakna secara purata kita perlu menyediakan hampir 2,000 beg
darah bagi kegunaan 925 pesakit setiap hari di seluruh negara,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia
peringkat kebangsaan 2015 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Dr Subramaniam berkata kesedaran rakyat negara ini
mengenai pentingnya menderma darah perlu sentiasa ditingkatkan meskipun
jumlah penderma bertambah setiap tahun.
“Bagi mereka yang belum pernah menderma darah, mereka perlu diberi kesedaran yang lebih tinggi mengenai kebaikan menderma darah.
“Kadang-kadang orang ramai bimbang apabila derma darah ini akan
mendatangkan kesan sampingan dan sebagainya kepada mereka … tidak perlu
bimbang kerana pemeriksaan saringan akan dilakukan terlebih dahulu sama
ada mereka boleh menderma darah atau tidak,” katanya.
Pada bulan Ramadan tidak lama lagi, Dr Subramaniam menggalakkan
individu Muslim yang ingin menderma darah untuk mengambil makanan yang
agak berat semasa bersahur, dan menderma darah pada waktu pagi.
“Semua lapisan masyarakat digalakkan tampil menderma darah bagi
membantu memastikan bekalan darah mencukupi di semua hospital pada bulan
Ramadan,” katanya. – BERNAMA