KUCHING - Di Bumi Kenyalang
ini tidak kurang 40 sub-etnik bernaung dengan mereka menjunjung bahasa,
warisan budaya, nilai serta cara hidup masing-masing.
Lebih 60 peratus daripada penduduk bumi kenyalang itu adalah daripada
masyarakat Dayak, yang turut mewakili kumpulan etnik seperti Iban,
Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Orang Ulu dan yang lain.
Di sebalik perbezaan yang wujud, kesemua mereka sepakat dalam meraikan Gawai Dayak pada 1 Jun setiap tahun.
SEJARAH
Menyingkap sejarah sambutan Gawai, pada tahun 1962 British yang
enggan mengiktiraf satu hari perayaan khusus buat kaum Dayak sebaliknya
mengambil ketetapan menjadikan 1 Jun sebagai Hari Sarawak untuk diraikan
oleh seluruh penduduknya.
Namun pasca pembentukan Malaysia 1965, tarikh sambutan hari Sarawak
itu diisytihar sebagai Hari Gawai khusus untuk diraikan oleh kaum Dayak.
Secara sambutan umumnya, Gawai adalah waktu untuk anak-anak Sarawak
yang merantau jauh terutama dari rumah-rumah panjang, kediaman unik yang
menjadi warisan Dayak, yang berselerak di pedalaman. Hari gawai
memberikan mereka peluang untuk pulang menghidupkan kembali nostalgia
silam sambutan pesta musim menuai.
RUMAH-RUMAH PANJANG
Arthur C.Bangki, 35, pekerja telaga minyak di pesisir pantai Sarawak
berkata setiap kali tiba sambutan Gawai, beliau akan kembali ke kampung
halamannya di Nanga Machan, Kanowit, kira-kira 420 km dari sini.
"Saya dari kaum Iban, bangga dengan etnik saya. Gawai satu-satunya
pesta yang dikongsi bersama oleh banyak etnik. Walaupun daripada segi
amalan sambutan yang diwarisi mungkin berbeza antara satu sama lain,
namun semua etnik ini bersepakat untuk meraikan 1 Jun sebagai hari
istimewa dalam menghayati perpaduan Dayak di Sarawak," katanya.
Hari Gawai diraikan meriah dengan penuh warna warni di setiap rumah panjang. |
Arthur berkata, Gawai bermaksud sambutan atau pesta yang secara
umumnya disambut bagi menandakan musim menuai sudah sampai ke penghujung
dan bermulanya musim baru.
Selain Gawai Dayak yang diketahui ramai sebagai Pesta Menuai,
terdapat pelbagai rencam upacara kebudayaan dan tradisional yang menjadi
sebahagian daripada adat resam kaum Iban, seperti Gawai Kenyalang,
Gawai Batu, Gawai Antu, Gawai Bersimpan, Gawai Padi dan banyak lagi.
Pesta menuai melabuhkan tirainya dengan acara "Ngiling bidai" (gulung
tikar) menjelang minggu kedua atau ketiga bulan Jun dan Arthur sentiasa
bersedia untuk menceritakan upacara-upacara gawai itu satu persatu
kepada mereka yang berminat.
Sambutan gawai sentiasa dipenuhi dengan nilai-nilai tradisional dan
adat resam yang diwarisi dari generasi ke generasi, disulami dengan
unsur-unsur mistikal dan pastinya paling meriah ia disambut di
rumah-rumah panjang, semasa semua sanak saudara jauh dan dekat
berhimpun.
Biasanya sambutan perayaan tidak pernah terhenti sehingga keesokkan
harinya, apa lagi apabila ada sesetengah rumah panjang itu menempatkan
sehingga 30 keluarga.
PELAWAT
Bagi pelawat asing pula inilah masa paling sesuai untuk menjejakkan
kaki ke Sarawak semasa semua pejabat ditutup, kemeriahan terasa di
setiap sudut dari kawasan pedalaman sehingga ke ke kota.
Malah ada
beberapa syarikat pelancongan menawarkan pakej pelancongan yang
memberikan akses kepada para pelawat merasai sendiri pengalaman
menyambut Gawai di rumah-rumah panjang, berhampiran dengan bandar.
Dalam tempoh ini terminal-terminal bot di Sibu, Kanowit, Song dan
Kapit, di bahagian tengah Sarawak menyaksikan kesesakan kerana
orangramai pulang ke kampung halaman menaiki pelbagai jenis bot, dari
bot laju, bot ekspress bot panjang, yang menghiasi lagi suasana gawai.
Setiap tahun menjelang ketibaan minggu sambutan Gawai, dianggarkan
15,000 orang menggunakan perkhidmatan bot ekspress untuk pulang ke
kampung memandangkan ia kaedah pengangkutan penting di Sungai Rajang
ini.
Hakikatnya tidak semua penduduk peribumi Sarawak yang masih tinggal
di rumah-rumah panjang, atau sentiasa memakai pakaian tradisional serta
perhiasan tradisi atau dilengkapi dengan parang ilang setiap kali tiba
sambutan Gawai.
Ada juga ramai di kalangan kaum Dayak ini yang memilih untuk
berpindah, bekerja dan tinggal di bandar-bandar besar. Mereka inilah
yang menjadi wargakota yang menghidupkan bandar-bandar semasa sambutan
Gawai.
Golongan bandar ini biasanya membanjiri kawasan Tebingan Sungai
Kuching misalnya, atau beramai-ramai ke Kampung Budaya Sarawak untuk
menyaksikan persembahan eksklusif sambutan Gawai dan sebagainya.
Tuai rumah (ketua rumah) John Lalong berkata rumah panjangnya di
Jalan Teku di Sibu sentiasa terbuka kepada orang ramai semasa sambutan
Gawai, tanpa mengira kaum atau agama.
SENSITIVITI
Pastinya dalam menjaga sensitiviti ramai, beliau dan "anak biaknya"
(pengikutnya) tidak pernah lupa untuk menyediakan makanan yang dijamin
halal buat tetamu.
Salah satu acara sambutan yang turut melibatkan anak muda pelbagai kaum yang menyambut Hari Gawai Dayak. |
"Sesetengah kami ada menantu daripada kaum Muslim atau Cina, dan ada
yang mempunyai pertalian saudara dengan mereka. Kami faham, dan
sejujurnya menghormati sensitiviti mereka," katanya.
Bagi sesetengah Dayak Kristian pula, mereka berhimpun di
gereja-gereja, saling mengunjungi sanak saudara dan yang penting
mengambil peluang di waktu cuti ini untuk bersama dengan keluarga.
Ucapan penting di waktu ini, biar siapa sahaja yang ditemui di bumi
Kenyalang ketika sambutan ini ialah "Gayu Guru Gerai Nyamai" - bahasa
Iban yang bermaksud "Selamat sejahtera, semoga panjang umur, dan sihat
selalu". - Bernama