Hati-Hati Menegur Nazri Jika Tidak Mahu Senasib Suhairi...

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Nazri Aziz.
ALOR SETAR - Kedahnews.com menyarankan supaya semua pihak berhati-hati dan seboleh-bolehnya menggunakan cara yang berhikmah sekiranya berhasrat menghentam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Nazri Aziz.

Sekiranya enggan, maka mungkin kita akan senasib dengan seorang warga netizen, Suhairi Sujairi yang dihentam balas secara berdepan oleh Nazri sendiri di laman sosial, Instagram.

Menariknya, demi mempertahan diri dan menyerang balas Suhairi yang mempersoalkan etika pemakaian Menteri itu di sebuah majlis yang dilihat tidak mengikut protokol majlis rasmi, Nazri sanggup meminjam akaun anaknya, Nedim, memandangkan beliau tidak memiliki sebarang akaun laman sosial!

“Siapa dia ni nak comment pasal my dressing? Siapa budak ni? Aku daripada dulu macam ni pun. Rakyat dah pilih aku 5 penggal pilihan raya, tak pernah kalah.

“Kalau hamlau ini rasa dia bagus sangat, tak payah cakap banyak. Aku tunggu dia di Padang Rengas untuk pilihan raya yang ke-14 ini. Kita tengok Padang Rengas nak dia atau aku?

“Dan tak payah nak comment aku sombong. Aku memang sombong dengan orang macam ni! Peduli apa saya nak pakai apa. Semua orang tau saya sempoi, jangan telanjang sudah,” kata Nazri "melibas" Suhairi.

Sebelum itu, Suhairi secara sakarstik menegur Menteri itu di laman sosial sehingga mendapat perhatian Nedim yang kemudian memaklumkan kepada bapanya ketika makan tengah hari bersama.


“Kegagalan memahami atau saja-saja buat tak paham protokol dan etiket majlis rasmi? Janganlah pakai seghopa nak melancong dalam majlis rasmi. Mohon PA Menteri Pelancongan terasa,” tulis Suhairi.

Sebelum ini, Nazri sememangnya agak terkenal dengan pendiriannya yang agak tegas dan kurang berlapik terhadap mereka yang menyerangnya, namun disenangi ramai sekiranya mengenalinya dengan lebih dekat lagi. -Kedahnews.com