Hidupkan Madrasah Yang Bernama Ramadhan


RAMADAN adalah bulan latihan atau madrasah yang pada umumnya bertujuan melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. 

Menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fil-Islam menyatakan bulan Ramadan adalah madrasah atau sekolah yang bertujuan memberi latihan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.

Bagi Profesor Dr. Wahbah Zuhaili pula dalam Fiqh al-Islam wa adillatuh menyebut bahawa ibadah puasa adalah madrasah yang bertujuan melahirkan insan bertakwa yang berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud; 
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. 
Menurut beliau lagi, madrasah itu bertujuan membina takwa melalui pendekatan berikut:

  • Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka. 
  • Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri. 
  • Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.

Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad dari unsur yang memudaratkan.

Bagi Dr. Mustaffa Siba’i pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). 

Dalam aspek kebendaan, ini mencakupi aspek harta dan jasmani sementara aspek roh meliputi iman dan pemikiran.

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya setiap insan muslim dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau madrasah yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam pelbagai profesion pekerjaan.

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri yang meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul khususnya nilai takwa.

Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen ini, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.


Pada umumnya melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan, diharapkan dapat membina generasi yang mantap dan kukuh secara luaran dan dalaman individu. 

Dalam konteks kehidupan seluruhnya, diharap madrasah Ramadan dapat melahirkan generasi umat yang mantap iaitu yang bukan dimanjakan atau generasi yang berada di keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Perlu disedari bahawa sepanjang bulan Ramadan ini umat Islam pada umumnya telah melalui fasa-fasa latihan berdasarkan sukatan pelajaran atau silibus yang tertentu dan sekali gus umat Islam keseluruhannya telah menjalani dan mengalami latihan yang menjurus kepada perubahan tertentu dalam kehidupan seharian dan perubahan yang dilakukan bermatlamatkan untuk membina diri mukmin yang kuat serta amanah.

Bagi melihat dengan lebih dekat, bagaimana semangat daya juang yang tinggi dapat dibina dalam kalangan umat seluruhnya, sirah nabi telah membuktikan bahawa madrasah Ramadan mampu membina individu seperti Ali bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat daya juang dan keberanian yang tinggi dalam peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks daya juang ini, sirah juga mencatatkan bahawa tentera Islam telah terlibat dalam Perang Badar (Badr al-Kubra) yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun Kedua Hijrah. Sesungguhnya ‘Badr al-Kubra’ telah memberikan pengajaran dan iktibar yang boleh diteladani oleh seluruh umat iaitu:
  • Sifat cinta dan kasih kepada agama Islam mengatasi segalanya. 
  • Semangat cintakan negara, bangsa dan tanah air dari diceroboh musuh. 
  • Mempunyai sifat takwa dan sabar dalam menghadapi ujian dan kesukaran. 
  • Sentiasa berserah diri kepada Allah dan bertawakal.
Selain itu madrasah Ramadan juga mendidik diri untuk menghayati konsep Hablun MinAllah (hubungan dengan Allah) dan konsep Hablun Minannas (hubungan sesama manusia).

Sesungguhnya madrasah Ramadan melatih seluruh umat Islam untuk melaksanakan amalan hubungan seorang hamba dengan Rabbnya iaitu hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Hubungan tersebut terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan sekali gus mampu untuk diterjemahkan selepas Ramadan.

Dalam konteks hubungan sesama manusia adalah menjadi harapan, agar hubungan sesama manusia itu dapat diterjemahkan dalam erti kata semangat setia kawan atau dalam Islam disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. 

Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam masyarakat dan organisasi?


Bagi menggambarkan sifat itsar yang boleh dibina melalui madrasah Ramadan antaranya ialah tentang kisah para sahabat dan pejuang Islam yang mempunyai kesanggupan mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dari kepentingan diri sendiri.

Bagi menjelaskan sifat itsar ini, terdapat kisah yang berlaku dalam kalangan tentera Islam yang berjuang dan tercedera dalam Perang Yarmouk. Kisah ini berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal (anak Abu Jahal). 

Apabila Ikrimah tercedera parah dalam peperangan tersebut, sepupunya yang turut serta dalam peperangan telah berusaha untuk membantunya dengan ingin memberikan air kepadanya dan apabila Ikrimah hendak meminum air tersebut, dia terdengar ada tentera lain yang turut tercedera parah inginkan air.

Lantas, dia menyuruh sepupunya itu memberikan air tersebut kepada tentera yang merintih memerlukan air dan berkata, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum saudaraku minum”. 

Sepupu Ikrimah pergi kepada orang tersebut dan keadaan sama berlaku kepada 10 orang yang lain dan orang yang kesepuluh menyatakan, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum Ikrimah minum”. 

Maka sepupu Ikrimah pun kembali kepada Ikrimah dan didapati Ikrimah telah pun syahid.

Dalam usaha untuk menjadikan masyarakat atau organisasi terus cemerlang agar menjadi masyarakat atau organisasi yang kuat, sejahtera, dinamik, saling bekerjasama, aman sejahtera, dan saling membantu, adalah menjadi harapan bersama agar Ramadan kali ini benar-benar memberikan madrasah yang mampu memberikan pendidikan ideal yang berlandaskan tiga unsur penting iaitu kekuatan, kecintaan dan tawaduk.

Pembinaan individu yang mantap dari segi fizikal, mental dan kerohanian adalah proses awal untuk membentuk masyarakat yang dinamik.

Selanjutnya pendidikan ideal dari madrasah Ramadan ini yang membentuk perlakuan, spiritual, emosi dan kognitif jika dapat diterjemahkan dalam kehidupan seluruh organisasi dan masyarakat, sudah pasti negara mampu mencapai hala tuju yang telah ditetapkan serta mencapai kemakmuran dan kemajuan yang berterusan.

*DR. BURHANUDDIN JALAL , PENULIS ialah Prof. Madya di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur/Utusan