KUALA PERLIS – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
bertitah perpaduan yang menjadi inti pati kejayaan pembangunan dan
kemakmuran negara memerlukan keikhlasan dalam diri setiap rakyat.
Titah baginda dengan keikhlasan sahaja rakyat pelbagai kaum akan dapat berkongsi nikmat keamanan dan pembangunan negara.
“Semangat muhibbah dan toleransi yang diamalkan dalam suasana perpaduan dan integrasi tidak akan menghilangkan identiti kita.
“Unsur-unsur melampau pula sehingga sanggup menghina sesuatu bangsa
atau agama lain adalah perbuatan yang tidak pernah disuruh oleh
mana-mana agama atau kepercayaan,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah merasmikan sambutan Minggu Perpaduan
peringkat Negeri Perlis bersempena sambutan ulang tahun ke-72 keputeraan
baginda di Laman Hotel Brasmana di sini, malam tadi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup
yang turut hadir, berkata perpaduan yang dikecapi sekarang adalah hasil
kejayaan manifestasi wawasan dan visi kepimpinan awal negara menjadikan
kemajmukan rakyat sebagai sumber kekuatan dan pembangunan.
“Kepimpinan awal negara melihat jauh ke hadapan bahawa misi untuk
merapatkan hubungan kaum boleh tercapai dengan mengikis sikap prejudis
antara penduduk berbilang kaum,” katanya. – BERNAMA