Hina Islam: Blogger Saudi Dihukum Sebat 1,000 Kali

Raif Badawi
RIYADH – Mahkamah Agung Arab Saudi memutuskan bahawa penulis blog terkenal, Raif Badawi, harus menjalani hukuman penjara selama 10 tahun dan sebatan 1,000 kali kerana didakwa bersalah menghina Islam.

Ketetapan mahkamah tertinggi negara itu dikeluarkan setelah sebelumnya pihak berkuasa membuat semakan kembali hukuman yang lebih rendah, susulan siri protes di bebebarapa negara luar menentang hukuman itu.

Raif dijatuhi hukuman keras tersebut setelah disabitkan bersalah atas tuduhan melakukan kejahatan dunia maya dan menghina Islam selepas berjaya ditangkap pada 2012 dan mulanya cuma dikenakan hukuman ringan.


Bagaimanapun pada 2014, mahkamah agung mengubah keputusan hukuman yang dijatuhi pada 2013 daripada hanya penjara tujuh tahun dan 600 sebatan; dinaikkan lagi kepada 10 tahun penjara dan 1,000 sebatan.

Beliau yang kini berusia 31 tahun; adalah salah seorang pengasas laman web bebas Free Saudi Liberal dan sudah diharamkan kerajaan negara itu kerana didakwa cuba mempromosikan amalan murtad kepada umat Islam.

Blogger terkenal itu yang memiliki tiga anak; telah menjalani hukuman sebat tahap pertama sebanyak 50 kali di hadapan sebuah masjid di Jeddah dan sepatutnya perlu menjalani hukuman tersebut sekali pada setiap minggu.


Namun, pelaksanaan hukuman sebatan tahap kedua dibatalkan saat-saat akhir kerana Raif menurut doktor tempatan masih didapati belum lagi sembuh sepenuhnya akibat luka cedera teruk disebat pada tahap pertama.

Isteri Raif, Ensaf Haidar yang mendapat perlindungan suaka politik di Kanada serta organisasi-organisasi hak asasi manusia mengecam keras pelaksanaan hukuman penuh sebagai cuba mengancam nyawa penulis itu.

Raif yang ‘mengharumkan’ nama Arab Saudi dengan meraih 15 anugerah antarabangsa selain dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan kerana prinsip liberalnya itu bakal dihukum mati jika bersalah atas dakwaan murtad. – Agensi