DALAM menjawab pelbagai spekulasi yang ditimbulkan bekas Perdana
Menteri Malaysia keempat Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tidak akan menggunakan taktik
serangan peribadi sebagai senjata untuk menangkis hujah daripada tokoh
tersebut.
Bahkan, Najib turut memberi amaran agar setiap tuduhan yang dilontarkan kepada kepimpinannya harus dijawab dengan fakta.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki, peringatan tersebut dibuat kerana Najib amat memandang tinggi
Tun M sebagai negarawan unggul.
Memetik laporan dari Free Malaysia Today, Asyraf berkata demikian melalui laman Instagram peribadinya.
Menurut Asyraf, perkara itu dimaklumkan Najib ketika mereka berbual
tentang pelbagai isu semasa termasuk kritikan Tun M ketika Majlis Berbuka
Puasa dan Solat Terawih Perdana Menteri bersama ulama dan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasmi PM pada Sabtu lalu.
Asyraf turut memuji akhlak yang dipaparkan Najib kerana ia membuktikan figura tersebut merupakan pemimpin berjiwa besar.
“Begitulah Najib seorang pemimpin berjiwa besar walaupun difitnah dan ditohmah.”
Tambahnya, dalam perbualan singkat itu Najib ternyata sangat
mengambil berat serta menyelami masalah rakyat, malah banyak keputusan
telah dibuat dalam kadar segera demi kepentingan rakyat tanpa diketahui
umum.-Kedahnews.com